Oleh AHMAD MUSTAKIM ZULKIFLI
KUALA LUMPUR- Seramai 117 individu ditahan PDRM atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 91 individu telah dikompaun manakala 26 individu pula direman.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediakan peralatan/catitan keluar masuk (37), tidak memakai pelitup muka (8), premis beroperasi lebih masa (2), menjalankan aktiviti pelacuran (24), serta aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (46),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pihak polis juga telah mengadakan 64 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 25,333 kenderaan bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus dan tiada sebarang tangkapan dilakukan.
Sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 14,048 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di 67 Hotel dan 5 Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu dan Labuan.
“ Daripada jumlah itu, seramai 43 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan dan 6,316 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang,” jelasnya.
Beliau memaklumkan, mereka telah pulang dari 32 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran dan Nepal.
Negara lain termasuk Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, New Zealand, Amerika Syarikat dan Australia.
Mengenai barang keperluan asas, penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 720 premis perniagaan termasuk peruncit (506), pemborong (184) dan pengilang (30).
Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi.
“Pegawai penguatkuasa KPDNEHP juga telah melakukan 992 pemeriksaan khas Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP dan mendapati 980 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala 11 premis diberi nasihat, dan satu premis diberi amaran kerana tidak patuh SOP,” tambahnya. -K! ONLINE