PETALING JAYA – Desas-desus aktres Intan Ladyana, 39, kini berbadan dua semakin terjawab apabila pendakwah terkenal Ustaz Ebit Lew menitipkan doa buat anak dalam kandungan pelakon itu.
Pesanan tersebut diucapkan Ebit menerusi satu hantaran video yang dikongsi suami Intan iaitu Harris Alif dalam Instagramnya semalam.
“Ustaz ada doa tak untuk istersi saya?” tanya pemilik nama penuh Nor Harris Alif Nor Rashid, 22, itu.
Menerusi pesanan Ebit, selain untuk pasangan itu, dia juga mendoakan kesejahteraan buat anak dalam kandungan Intan agar menjadi anak yang soleh dan solehah kelak.
“Semoga Harris dan Intan Allah beri sentiasa bahagia sampai bila-bila, mati pun tak dapat dipisahkan.
“Mudah-mudahan selamat Insya-Allah kandungan anak yang soleh dan solehah, zuriat sampai kiamat serta berbuat kebaikan atas dunia. Insya-Allah sayang,” kata Ebit.
Menjengah ke ruangan komen, Intan hanya meninggalkan komen: “Amin.”
Dalam pada itu, rata-rata netizen membanjiri ruanagan komen hantaran tersebut dengan doa buat Intan dan anak dalam kandungannya.
Terdahulu, tular beberapa video dan foto yang memberi bayangan pelakon drama Bougainvillea itu sedang hamil anak pertamanya.
Harris ketika dihubungi Kosmo! Online baru-baru ini memberitahu belum bersedia untuk berkongsi lanjut dakwaan tersebut namun mahu semua pihak mendoakan untuk isterinya.
Intan dan Harris mendirikan rumah tangga pada 4 Februari lalu di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur. – K! ONLINE