SAINGAN Liga Fantasi Kosmo! semakin rancak apabila bakal memasuki saingan minggu keempat (GW4) bermula Sabtu ini selepas saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) berehat seketika untuk memberi laluan kepada kalendar perlawanan antarabangsa.
Setakat ini, sudah ada 15 pemenang mingguan dipilih untuk menerima hadiah berupa wang tunai RM200 setiap seorang sejak aksi sepak mula EPL dimulakan pada 14 Ogos lepas.
Sambutan yang diterima cukup menggalakkan dengan lebih 6,000 pendaftaran di seluruh negara ketika ini.
Lebih menarik, peserta yang mendaftar terdiri daripada pelbagai bangsa, tidak kira umur atau latar belakang pekerjaan memandangkan penganjuran Liga Fantasi Kosmo! dibuat secara terbuka dan percuma.
Salah seorang pemenang GW1 (Minggu Pertama), Muhamad Aslam Abdul Lathiff mengakui penganjuran Liga Fantasi Kosmo! sedikit sebanyak dapat memberi kegembiraan buat rakyat Malaysia yang masih sedih dengan situasi pandemik ketika ini.
“Apa yang akhbar Kosmo! lakukan dengan penganjuran Liga Fantasi Kosmo! buat kali pertama pada tahun ini adalah satu langkah positif yang mana rakyat Malaysia boleh mengalihkan tumpuan seketika tanpa memikirkan isu Covid-19.
“Saya sendiri menyertai banyak liga fantasi yang berbayar dan menawarkan hadiah berlainan tetapi kelainan Kosmo! lakukan dengan menganjurkan secara percuma wajar dengan hadiah lumayan secara mingguan wajar dipuji.
“Pada masa sama, saya anggap Liga Fantasi Kosmo! ini boleh menarik lebih ramai anak muda yang mengikuti saingan EPL khususnya untuk menjadi pengikut setia akhbar Kosmo!,” kata Aslam yang merupakan seorang pelajar jurusan perubatan.
Sementara itu, Mohd. Rosmin Maulan yang sudah bermain permainanan fantasi sejak lima tahun lalu mengakui agak terkejut apabila muncul salah seorang peserta mengutip jumlah mata mingguan tertinggi pada GW3.
“Saya tidak sangka apabila pasukan Rumah Merah meraih mata agak tinggi pada GW3 dan muncul salah seorang pemenang mingguan Liga Fantasy Kosmo!.
“Kini, sudah tentu sasaran saya untuk meraih lebih banyak kemenangan terutama selepas mendapat tahu hadiah keseluruhan Liga Fantasi Kosmo! dipertingkatkan,” kata Rosmin yang berusia 45 tahun.
Bagi salah seorang lagi pemenang GW3, Mohd. Hazuan yang menggunakan pasukan Rimbara XI (2005) melihat penganjuran Liga Fantasi Kosmo! mempunyai daya tarikan tersendiri kerana mempertaruhkan hadiah keseluruhan sebanyak RM80,000 termasuk tiket penerbangan ke London dan tiket untuk menyaksikan perlawanan EPL selain penginapan dan duit poket RN2,000.
“Saya lihat persaingan cukup sengit antara peserta dengan jumlah mata yang agak rapat antara satu sama lain. Justeru, kami sebagai pemain perlu bijak merancang strategi tersendiri.
“Apa yang pasti, saya sangat gembira kerana Kosmo! memberikan platform buat kami bermain kerana peminat permainan fantasi EPL di Malaysia sangat tinggi dan penganjuran percuma selain tawaran hadiah lumayan menjadi daya menarik utama,” katanya.
Ketiga-ketiga pemenang telah ditemui selepas Sesi Penyampaian Hadiah Liga Fantasi Kosmo! yang berlangsung di Petaling Jaya semalam.
Hadiah telah disampaikan oleh Ketua Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd., Mohamad Azlan Jaafar sambil diiringi Pengarang Kosmo!/Kosmo! Ahad, Wan Hasnan Wan Hasan dan Pengarang Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia, Aznan Bakar.
Selain hadiah wang tunai RM200 yang diberikan secara mingguan, Kosmo! turut menawarkan hadiah utama iaitu tiket penerbangan ke London, England untuk menyaksikan perlawanan EPL selain wang saku sebanyak RM2,000 kepada pemenang utama.