fbpx

Ikan yu paus pula muncul di perairan Kuala Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ikan yu paus yang ditemui di perairan Kuala Perlis, hari ini.

KANGAR – Perairan Kuala Perlis dikunjungi ikan yu paus setelah kelibat hidupan laut yang dianggarkan seberat lima tan metrik tersebut ditemui pada jarak enam batu nautika dari Pantai Kuala Sungai Baru di sini, petang tadi.

Ikan yu paus tersebut ditemui salah seorang daripada pengasas Perlis Nature and Wildlife (PNW), Khairul Anuar Abas, 31, ketika sedang melakukan rondaan di perairan kira-kira pukul 2.08 petang.

Pengasas PNW, Syamil Abd. Rahman berkata, ikan yang boleh mencecah 15 tan metrik itu adalah spesies yang sukar ditemui di perairan Kuala Perlis.

Katanya, penemuan tersebut adalah secara tiba-tiba kerana secara kebetulan ikan itu sedang bermain di kawasan berkenaan dan timbul di permukaan air.

“Ikan ini tidak mengundang bahaya kepada manusia dan hanya akan mengikut bot di perairan ini sahaja.

“Memang tak sangka dia (Khairul Anuar) boleh menemui ikan yang jarang-jarang ada di sini,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, ikan yu paus yang ditemui itu lebih besar daripada bot gentian kaca nelayan.

“Ikan tersebut juga jika ditemui biasanya semasa cuaca cerah dan berada kira-kira tiga hingga enam batu nautika dari pantai,” ujarnya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan seekor ikan lumba-lumba jenis Irrawaddy sepanjang 2.5 meter dengan berat kira-kira 150 kilogram ditemui mati terdampar di tepi laut berhampiran Kampung Kurung Tengar, Kuala Perlis kira-kira pukul 9 pagi tadi. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI