PELUMBA cilik negara, Hakim Danish Ramli dilihat mempunyai potensi besar untuk cemerlang di peringkat antarabangsa apabila melakukan kejutan meraih dua kemenangan pada saingan Ohvale Coppa Italia kelmarin.
Pelumba berusia 14 tahun itu tidak mensia-siakan peluang yang terhidang apabila mudah menawan Litar Pomposa, Itali untuk muncul juara Perlumbaan Pertama dan Kedua kategori GP-2 Junior.
Lebih manis, pelumba kelahiran Kuala Terengganu itu turut mencipta kejutan apabila mencatat dua kali rekod sepusingan terpantas, sekali gus mengatasi pelumba Itali lain termasuk juara keseluruhan saingan tersebut.
“Perasaan saya sungguh gembira dapat berlumba di Coppa Italia, sekali gus dapat bersaing dengan pelumba-pelumba muda Itali. Peluang ini saya gunakan sebaik mungkin untuk menimba pengalaman berharga.
“Saya juga gembira kerana dapat berkawan dengan pelumba Itali dan mereka juga sangat baik. Saya ingin mengucapkan terima kasih kerana memberi peluang kepada saya untuk berlumba di sini,” kata Hakim Danish yang beraksi atas tiket wildcard.
Hakim Danish yang di bawah selian bekas pelumba MotoGP negara, Zulfahmi Khairuddin turut diberi peluang untuk beraksi di pentas antarabangsa seperti Asia Talent Cup (ATC) dan European Talent Cup (ETC) tahun ini.
Pada perlumbaan sulung pada ATC, Hakim turut melakukan kejutan apabila meraih tiga penamat podium tempat ketiga, sekali gus berada di tangga keempat keseluruhan dengan mengumpul 57 mata.
Sementara itu, Zulfahmi dilihat tidak terkejut dengan kejayaan Hakim Danish selepas mengakui anak didiknya itu mempunyai bakat tersendiri.
“Seperti yang kita tahu, Hakim Danish adalah pelumba baharu, malah dia juga tidak banyak merungut dan akan buat terbaik bila diberikan jentera. Saya nampak pelumba berusia 14 tahun ini mempunyai bakat untuk bergelar juara dunia satu hari nanti,” tegasnya.