fbpx

Selangor terus tagih sentuhan Ifedayo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IFEDAYO (kanan) cuba melepasi halangan penjaga gol Sabah, Robson Rendi Rining pada aksi Liga Super yang menyaksikan Selangor FC membelasah Sabah 6-0 di Stadium Likas, Kota Kinabalu kelmarin.

PEMAIN import Selangor, Ifedayo Olusegun terus membuktikan dia antara penyerang digeruni apabila meledak hatrik ketika membantu pasukan itu membelasah Sabah 6-0 pada aksi Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam kelmarin.

Ifedayo berjaya membantu skuad Gergasi Merah itu apabila menjaringkan tiga gol, sekali gus meletakkan statusnya sebagai penjaring terbanyak Liga Super setakat ini dengan 25 gol, dua gol mengatasi penyerang berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva.

Selain Ifedayo, Muhammad Mukhairi Ajmal, Nor Hakim Hassan serta Ahmad Danial Asri masing-masing mencetak nama sebagai penjaring dengan sumbangan satu gol pada perlawanan tersebut.

Ketua jurulatih Selangor FC, Karsten Neitzel berharap Ifedayo mampu mengekalkan sentuhan berbisa pada aksi terakhir Liga Super menentang PJ City pada Ahad ini serta dalam saingan Pia­la Malaysia nanti.

“Saya sangat gembira dengan aksi yang ditampilkan Ifedayo pada malam ini (kelmarin) apabila berjaya menjaringkan tiga gol. Pemain lain juga bermain sangat baik kerana mencipta banyak peluang buat jentera serangan.

“Jika diambil kira, dia (Ifedayo) sudah menjaringkan 25 gol musim ini dan angka itu sangat menakjubkan. Sekiranya dia boleh teruskan aksi seperti ini dalam perlawanan akan datang, statusnya sebagai penjaring terbanyak lebih terjamin,” katanya.

Sebagai rekod, Selangor menampilkan aksi cukup cemerlang selepas saingan liga kembali bersambung Julai lalu apabila berjaya mencatat lima kemenangan dalam lapan perlawanan ter­akhir.

Walaupun sudah berada di penghujung saingan liga, namun Neitzel tidak mahu pemain-pemainnya hilang fokus, sebaliknya beliau sedia melakukan persediaan awal untuk melayan kunjungan PJ City di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

“Saya tidak mahu menunggu lama untuk melakukan persiapan menentang PJ City kerana hanya kemenangan akan jadi penamat sempurna bagi saingan musim ini. Oleh itu, semua pemain akan jalani latihan dengan segera selepas ini,” ujar jurulatih dari Jerman itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI