DALAM tempoh pandemik Covid-19 yang menular, pergerakan keluar rumah perlu dihadkan dan segala-galanya menjadi lebih mudah dengan pesanan hanya di hujung jari.
Tentunya perniagaan berasaskan online kini sangat mendapat sambutan kerana masyarakat cenderung memilih untuk duduk di rumah.
Dengan niat mahu memudahkan orang ramai, seorang anak muda yang sebelum ini merupakan guru mengaji al-Quran kini menyediakan perkhidmatan pesanan barangan dapur secara dalam talian di kawasan sekitar Negeri Sembilan dengan penghantaran secara terus ke rumah.
Perniagaan dengan nama Pasar Online Nismilan itu diasaskan anak muda tersebut, Muhammad Haziq Farhanuddin Abd. Hamid.
Menurut Muhammad Haziq, 23, idea untuk menerima pesanan daripada pelanggan itu bermula pada bulan Julai tahun lalu selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama.
“Dalam tempoh PKP, pergerakan terbatas, justeru saya diminta ramai orang untuk membeli barang dapur seperti ayam, ikan, daging, makanan laut dan sayur.
“Pada mulanya, saya hanya melaksanakan perkhidmatan pembeli peribadi (personal shopper) yang membeli barang mengikut pesanan pelanggan,” katanya ketika ditemui K2 di premis kedainya di Senawang.
Bertitik tolak dari situ, Muhammad Haziq terfikir untuk menyediakan perkhidmatan barangan dapur yang siap disiang dan dibersihkan dengan penghantaran terus di depan pintu rumah.
“Alhamdulillah, sambutan diterima amat menggalakkan dan pelanggan terutama golongan ibu bekerjaya serta suri rumah memaklumkan perkhidmatan ini memudahkan kerja dapur mereka.
“Pelanggan hanya perlu membuat pesanan sehari sebelum penghantaran, bayar dan tunggu barang tiba. Ia sangat mudah tanpa perlu bersesak-sesak ke pasar,” kata Muhammad Haziq yang digelar ustaz oleh para pelanggan.
Perniagaan Pasar Online Nismilan itu diusahakan bersama rakan kongsi, Muhammad Safwan Mohd. Ghazali, 23.
Muhammad Haziq yang pernah menjual ketam di tepi jalan berkata, pada peringkat awal, dia menjalankan bisnes pasar online itu dari rumah secara sendiri, namun kini hasil keuntungan diperoleh dia mampu beroperasi di premis kedai serta berkongsi rezeki dengan menggaji 20 pekerja.
“Hari-hari saya berdoa, perniagaan saya berkembang. Dalam tempoh hanya setahun, kini saya sudah mempunyai premis kedai. Dalam sehari, kami menerima lebih 100 pesanan dan penghantaran dibuat bermula pukul 11.30 pagi di beberapa lokasi termasuk Seremban, Sendayan, Nilai, Kuala Pilah, Port Dickson, Rembau dan Jelebu.
“Selain itu, kami sentiasa memastikan barang dihantar berkualiti dan segar. Makanan laut seperti ikan, udang, ketam dihantar terus oleh pembekal dari Jeti Kuantan, Pahang setiap hari,” katanya.
Jelasnya, Pasar Online Nismilan turut menyediakan set barang basah PKP pada harga RM50 hingga RM100 dengan pakej siap siang, bersih dan penghantaran.
“Sekarang ramai yang terjejas, jadi dengan set ini pada harga RM50 mereka dapat membeli barang dapur untuk keluarga yang mengandungi seekor ayam, ikan pelaling, kembung dan cencaru dengan berat 500 gram bagi setiap jenis ikan.
“Selain itu, pelanggan juga boleh memilih sendiri barang basah, sayur atau bahan kering yang dikehendaki dan kami akan siapkan,” ujarnya yang memberitahu banyak juga pelanggannya terdiri daripada anak merantau yang membeli barang dapur untuk ibu bapa di negeri ini.
Pesanan boleh dibuat menerusi Instagram @pasaronlinenismilan atau Facebook @Pasar Online N9.