TEL AVIV – Enam tahanan Palestin berjaya meloloskan diri dari sebuah penjara kawalan ketat Israel dalam apa yang disifatkan Perdana Menteri, Naftali Bennet sebagai insiden serius, lapor akhbar Guardian hari ini.
Polis dan tentera Rejim Zionis melancarkan operasi memburu keenam-enam tahanan itu selepas mereka melarikan diri dari Penjara Gilboa di utara Israel hari ini.
“Lima tahanan merupakan anggota pergerakan Jihad Islam dan seorang lagi adalah bekas komander Briged Syahid Al-Aqsa,” kata perkhidmatan penjara.
Komander perkhidmatan penjara utara Israel, Arik Yaacov berkata, enam tahanan itu menggali lubang dari lantai sel penjara sehingga ke luar tembok penjara.
Penjara terletak sekitar 4 kilometer dari sempadan Tebing Barat yang diduduki Rejim Zionis itu merupakan antara penjara kawalan paling ketat di Israel. Ia menempatkan rakyat Palestin yang didapati bersalah atau disyaki terlibat dalam aktiviti anti-Israel termasuk serangan maut.
Sebuah organisasi tahanan Palestin menyatakan bahawa empat tahanan itu menjalani hukuman penjara seumur hidup.
Dalam pada itu, beberapa kumpulan serpihan Palestin memuji insiden tersebut.
“Kejayaan besar ni sekali lagi membuktikan bahawa keazaman dan kecekalan askar kami yang ditahan di dalam penjara musuh tidak dapat dikalahkan,” kata seorang jurucakap pergerakan Hamas, Fawzi Barhoum.
Sementara itu, pejabat Bennett menyatakan bahawa beliau telah bercakap dengan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Israel dan menganggap insiden serius itu memerlukan usaha dan kerjasama pasukan keselamatan untuk memburu tahanan terbabit. – Agensi