MANCHESTER – Bintang sensasi Manchester United, Cristiano Ronaldo sudah tidak sabar untuk bekerjasama dengan pengurus pasukan itu, Ole Gunnar Solskjaer dalam perlawanan akan datang.
Penyerang prolifik berusia 36 tahun itu dijangka berada dalam kesebelasan utama The Red Devils untuk aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Newcastle United di Stadium Old Trafford pada Sabtu ini.
Ronaldo yang pernah menjadi rakan sepasukan Solskjaer dari 2003 hingga 2007 mengakui, dia memiliki hubungan rapat dengan pengurusnya selain sentiasa menaruh sepenuh kepercayaan terhadap kemampuan pengendali dari Norway itu.
Justeru, Ronaldo yang masih lagi menjalani kuarantin di Manchester ketika ini menegaskan, sudah bersedia sepenuhnya untuk membantu United kembali ke era gemilang sama seperti ketika pasukan itu di bawah bimbingan Sir Alex Ferguson.
“Memang kami ada bercakap sebelum ini tetapi masih belum bersemuka. Mungkin saya akan gunakan sedikit masa untuk berjumpa dengannya dan berbincang apa yang beliau mahukan daripada saya.
“Saya tidak kisah statusnya sebagai bekas rakan sepasukan kerana kami mempunyai hubungan yang baik. Tugas utama saya sekarang adalah membantu pasukan ini mencapai sasaran yang diletakkan,” kata kapten Portugal itu.
Meskipun berstatus legenda di kelab itu, namun Ronaldo menegaskan, dia sentiasa bersedia untuk menerima arahan dalam usaha membawa United kembali ke landasan terbaik.
“Saya sudah bersedia untuk segala-galanya dan tidak kisah jika diminta melakukan apa-apa tugas. Beliau (Solskjaer) boleh mengharapkan kemampuan saya,” ujarnya. – AGENSI