fbpx

Penyeludup lepaskan tembakan amaran kepada polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KOTA BHARU – Penyeludup warga Thailand bertindak berani dengan melepaskan tiga das tembakan sebagai amaran kepada anggota polis agar tidak mengganggu urusan mereka di pengkalan haram Poksu Kamal, Kampung Bendang Besar dekat Tanah Merah semalam.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 9 pagi sewaktu dua anggota Balai Polis Nibong, Tanah Merah melakukan rondaan sempadan melalui pengkalan haram itu.

Katanya, siasatan mendapati, dua suspek dipercayai penyeludup warga Thailand bertindak melepaskan tembakan ekoran tidak berpuas hati kepada anggota polis yang kerap melakukan rondaan di tebing sungai sempadan kedua-dua negara.

“Sewaktu rondaan dijalankan, kedua-dua anggota polis melihat seorang lelaki sedang menyeberangi Sungai Golok sebelum bertindak menghampiri kawasan tebing sungai tersebut.

“Mereka melihat seorang lelaki masuk ke dalam sungai berkenaan bersama tujuh tong disyaki berisi minyak masak yang diikat bersamanya sebelum bergerak ke arah negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, apabila lelaki itu tiba di kawasan tebing sungai di sebelah negara Thailand, kelihatan dua orang lagi lelaki masing-masing membawa selaras senapang dan bertindak melepaskan tiga das tembakan ke arah anggota polis.

Katanya, susulan tembakan itu, dua das terkena kawasan tebing sungai manakala satu lagi das tersasar.

“Siasatan awal mendapati, suspek dipercayai melepaskan tembakan menggunakan senapang angin kerana tiada bunyi letupan didengari.

“Bagaimanapun, kedua-dua anggota Balai Polis Nibong itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. – K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI