BIARPUN hidup seseorang bergelumang dengan populariti, namun itu tidak bermakna seluruh kehidupannya sudah cukup sempurna dari semua segi.
Begitu yang dapat digambarkan buat penyanyi popular Dawn kerana walaupun terkenal sebagai penyanyi popular dan dilimpahi populariti, namun hidupnya tetap ada kekurangan.
Kekurangan yang dimaksudkan adalah dari segi hubungannya bersama orang lain seperti sahabat.
Ujar Dawn, dia sebenarnya tidak mempunyai ramai kawan, sama seperti yang dialami kekasih hatinya yang juga penyanyi popular, HyunA.
“Kawan-kawan yang saya ada sekarang adalah mereka yang saya temui ketika bekerja. Saya tidak pernah berkawan dengan orang luar, kecuali rakan-rakan pada zaman sekolah.
“Begitu juga dengan HyunA yang tak ada ramai kawan sebab dia memulakan kerjaya seawal usia yang sangat muda. Saya berasa kasihan kepadanya,” ujar penyanyi lagu Dawndididawn itu ketika muncul dalam program realiti I’m Fine, Thank You and You? baru-baru ini.
Dawn dan HyunA muncul sebagai pasangan selebriti pertama dalam program tersebut yang diterbitkan oleh saluran YouTube, Studio Lululala.
Menerusinya, pasangan kekasih yang bercinta sejak Mei 2016 itu berkongsi kegiatan harian mereka dengan menghabiskan masa di studio rakaman.