TEMASYA Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo melabuhkan tirai rasmi dengan penutupan majlis dengan upacara penuh gilang gemilang di Stadium Olimpik kelmarin.
Banyak khabar suka dan duka yang kita terima sepanjang hampir dua minggu kejohanan paralimpik terbesar itu berlangsung yang sudah tentua tidak boleh dilupakan seluruh rakyat Malaysia.
Paling menarik, sudah tentulah pencapaian cemerlang kontinjen negara dalam memastikan sasaran pingat berjaya dicapai selepas meraih tiga pingat emas dan dua pingat perak pada Sukan Olimpik 2020 kali ini.
Rekod di atas kertas mungkin manis untuk dilihat selepas mendapat pengiktirafan sewajarnya dengan kilauan pingat dan ganjaran setimpal, namun bagi rekod yang tidak diiktiraf pula bagaimana?
Apa yang cuba disampaikan sudah tentu merujuk kepada insiden ‘rampasan’ pingat emas serta catatan rekod dunia yang dilakukan oleh Muhammad Ziyad Zolkefli pada acara lontar peluru F20.
Penyertaan Ziyad telah dibatalkan kerana kesilapan teknikal yang menyaksikan dirinya tiba lewat daripada masa yang dijadualkan di bilik menunggu.
Susulan itu, warganet di Malaysia memulakan andaian bahawa kontinjen Ukraine telah melakukan aduan sehingga ‘merompak’ pingat emas yang dimenangi oleh Ziyad.
Namun, menuding jari bukanlah jalan penyelesaian terbaik kerana kita perlu mengakui kesalahan sendiri sebelum menuduh kesalahan itu ke bahu orang lain.
Pandangan itu dipersetujui oleh penganalisis sukan tempatan, Dr. Pekan Ramli yang percaya keputusan itu sepatutnya menjadi pengajaran berguna dan kekhilafan itu tidak boleh berulang kembali.
“Semua pihak kecewa apabila Ziyad tidak diberikan pengiktirafan sewajarnya selepas penyertaan dibatalkan oleh penganjur. Namun, sikap agresif rakyat Malaysia ‘menyerang’ atlet Ukraine adalah sesuatu yang tidak wajar.
“Kita tidak boleh menuding jari kepada mana-mana pihak kerana ia bukanlah jalan penyelesaian terbaik,” katanya.
Tambahnya, rakyat Malaysia menunjukkan sikap patriotisme yang tinggi tetapi reputasi perlu dijaga dan kecaman menerusi laman sosial bukanlah langkah yang tepat.
“Dalam konteks sukan, mengikut peraturan dan disiplin saling berkait rapat yang boleh menjadi penanda aras buat mana-mana atlet untuk berjaya,” katanya.
Kecaman warganet tanah air turut dibidas oleh Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) yang menyifatkan serangan di media sosial sebagai sangat kesat.
Jurucakap IPC, Craig Spence berkata, peraturan adalah peraturan dan tidak wajar serangan dilakukan kepada atlet Ukraine kerana bukan mereka yang melakukan kesilapan.
“Saya minta maaf, peraturan tetap peraturan. Keputusan telah dibuat. Ia bukan kesilapan dari Ukraine, atlet Malaysia telah lewat. Peserta lain telah tiba lima minit awal,” katanya.
Apa yang pasti, nasi sudah menjadi bubur. Benarlah kata pepatah bahawa masa itu emas dan kesilapan yang sama tidak boleh kita ulangi selepas ini baik di temasya Sukan Malaysia hingga ke pentas Sukan Olimpik.