PETALING JAYA – Aktres popular Fazura menzahirkan rasa teruja apabila menerima hadiah berupa beberapa keping syiling emas daripada Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman.
Berita gembira tersebut dikongsi pemilik nama penuh Nur Fazura Sharifuddin, 37, dalam InstaStory miliknya hari ini.
Menerusi perkongsian tersebut, pelakon drama Hero Seorang Cinderella itu menunjukkan dia menerima hadiah daripada Tengku Permaisuri Norashikin iaitu kepingan syiling emas dan beberapa naskhah buku keagamaan.
Dalam kad yang dikirim, tertulis ucapan terima kasih daripada Permaisuri Selangor buat Fazura yang sentiasa menjadi individu yang baik kepada baginda.
“Kepada Fazura, terima kasih kerana selalu menjadi insan yang baik untuk saya,” tulis Permaisuri Norashikin.
Mengagumi keperibadian baginda , Fazura menitipkan ucapan terima kasih buat atas beberapa hadiah yang dikirimkan kepadanya.
“Sangat merendah diri dan jelita. Ini antara sebab saya mengagumi Tengku Permaisuri Norashikin.
“Menjunjung kasih Tuanku. Saya akan simpan kepingan syiling emas ini untuk Fatima.
“Masya-Allah dapat buku-buku yang sangat bermanfaat. Insya-Allah. Junjung kasih Tuanku buat kurniaan dan ingatan ini,” tulisnya.
Fazura bagaimanapun tidak mendedahkan alasan kiriman Permaisuri Selangor buat dirinya.
Terdahulu, pelakon Remy Ishak dan isteri juga pernah mencuri tumpuan ramai apabila menerima bungkusan hadiah daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebagai hadiah perkahwinannya pada 21 Ogos lalu. – K! ONLINE