MARAN – Kematian arwah Mohd. Faizal Ismail, 38, yang ditimpa besi winch kren di sini pada Isnin lalu memberi kesan mendalam kepada isteri serta lima anaknya.
Kejadian yang berlaku sekelip mata itu meragut kebahagiaan isteri mangsa, Nor Fazilah Othman, 35, sehingga menyebabkan wanita itu sedih dan masih trauma.
Abang mangsa, Mohd. Dahlan Ismail, 47, berkata, Nor Fazilah amat terkesan dengan kehilangan suaminya, apatah lagi anak-anak pasangan itu masih kecil terutamanya anak bongsu yang masih belum mengerti tentang erti kehilangan.
Katanya, dia bimbang melihat keadaan Nor Fazilah yang menghidap penyakit buah pinggang dan memerlukan rawatan dialisis secara berkala.
“Saya buntu dengan keadaan ini. Isteri arwah masih trauma dan sudah dua hari dia tidak menyentuh makanan.
“Saya risau memandangkan dia (Nor Fazilah) menghidap sakit buah pinggang yang memerlukan dialisis tiga kali seminggu yang diuruskan oleh arwah sebelum ini,” katanya di sini semalam.
Kosmo! semalam melaporkan seorang lelaki maut selepas kereta jenis Perodua Axia yang dipandu dihempap besi winch kren seberat kira-kira setengah tan yang dipercayai jatuh dari sebuah kenderaan berat yang sedang bergerak.
Kejadian itu berlaku pada pukul 9.45 malam di Kilometer 91, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur berhampiran Kampung Batu 13 di sini.