JAGUH badminton para negara, Cheah Liek Hou bukan hanya seorang pemain bersemangat tinggi di dalam gelanggang, malah turut memiliki hati murni apabila mahu menyumbang hadiah ganjaran yang bakal diperoleh nanti.
Liek Hou melakar sejarah tersendiri apabila menjadi pemain pertama memenangi pingat emas dalam acara badminton perseorangan lelaki SU5 pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 selepas menewaskan lawan dari Indonesia, Dheva Anrimusthi di perlawanan akhir kelmarin.
Justeru, berdasarkan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), setiap pemenang pingat emas pada temasya Olimpik dan Paralimpik akan diberikan hadiah wang tunai RM1 juta serta pencen bulanan RM5,000.
Dalam pada itu, Liek Hou juga akan menerima insentif tambahan sebanyak RM100,000 sumbangan FWD Takaful.
“Setakat ini, saya masih belum dapat wang bonus SHAKAM, jadi belum ada perancangan yang jelas lagi. Bagaimanapun, memang saya berniat untuk sedekahkan wang yang akan diterima nanti.
“Oleh itu, saya akan rancang sama ada untuk berikan kepada anak yatim, orang-orang tua, orang kurang upaya atau pasukan barisan hadapan. Saya mahu pulang ke tanah air dahulu dan akan fikirkan nanti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Pada aksi final kelmarin, pemain kelahiran Kuala Lumpur itu menampilkan aksi cukup bertenaga apabila memastikan kemenangan straight set 21-17, 21-15 ke atas Dheva yang juga seteru utamanya.
Liek Hou yang dibimbing legenda badminton tanah air, Datuk Rashid Sidek menjelaskan, kemenangan itu adalah sesuatu yang cukup istimewa memandangkan ia merupakan pingat emas Paralimpik pertama negara dalam sukan badminton.
“Bagi saya, kemenangan sangat istimewa bukan sahaja kepada saya, malah kepada seluruh rakyat Malaysia kerana ini adalah emas pertama dalam sukan badminton. Saya gembira kerana dapat cipta sejarah untuk diri sendiri dan negara,” ujarnya.