EINDHOVEN – Pengendali Belanda, Louis van Gaal memuji barisan pemainnya selepas mempamerkan persembahan luar biasa untuk membelasah Montenegro 4-0 di Stadium Philips pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022 awal pagi semalam.
Van Gaal berharap kemenangan itu mampu meningkatkan semangat barisan pemainnya apabila berhadapan Turki yang kini menduduki tangga teratas Kumpulan G selepas menang 3-0 ke atas Gibraltar dalam satu lagi aksi awal pagi semalam.
Bintang Barcelona, Memphis Depay membuka jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-38 sebelum meledak gol kedua peribadinya dalam babak kedua.
The Oranje memastikan kemenangan bergaya mereka ke atas Montenegro dengan tambahan dua lagi gol melalui Georginio Wijnaldum dan Cody Gakpo dalam tempoh enam minit bermula minit ke-70 serta 76.
“Saya akui kami bermula agak perlahan dan sedikit teruk. Selepas jaringan daripada Depay, kami bermain lebih tenang dan dapat menampilkan permainan yang sangat bagus.
“Bagaimanapun, masih banyak perkara perlu diperbaiki walaupun hari ini (awal pagi semalam) mereka telah menunjukan persembahan mantap berhadapan pasukan bertahan seperti Montenegro.
“Apabila anda dapat mencipta kemenangan, ia sedikit sebanyak meningkatkan semangat pemain memandangkan selepas ini kami akan berdepan Turki,” kata Van Gaal.
Belanda kini menduduki tangga kedua Kumpulan G menerusi tiga kemenangan, satu seri dan satu kekalahan untuk berkongsi 10 mata dengan Norway yang berada di kedudukan ketiga.
Jika berjaya menewaskan Turki pada Rabu ini, Belanda akan memintas lawan tersebut untuk menghuni tangga teratas Kumpulan G kerana kedua-dua pasukan itu hanya dipisahkan dengan satu mata. – AGENSI