fbpx

Hidup 280,000 penduduk terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan lengang ketika tinjauan Kosmo! di SJKT Ladang Padang Meiha di Kulim semalam.

KULIM – Lebih 280,000 penduduk di Kulim berhadapan ancaman sekatan pergerakan ang­kara penularan Kluster Tawar yang mula merebak ke sebuah sekolah di daerah itu apabila seorang guru dan tiga muridnya dijangkiti Covid-19.

Setakat ini kira-kira 100,000 penduduk di empat mukim yang dikesan berlaku penularan Kluster Tawar seperti Mukim Keladi, Mukim Padang Cina, Mukim Karangan dan Mukim Padang Meha telah terjejas kehidupan mereka.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, sekolah yang ditutup itu ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Padang Meiha di sini.

Katanya, situasi membimbangkan itu menyebabkan waktu perniagaan di kawasan terlibat dihadkan dari pukul 8 pagi hingga 8 malam berkuat kuasa kelmarin berbanding sehingga pukul 12 tengah malam sebelum ini.

“Semua tindakan yang dibuat adalah berdasarkan kepada nasihat Jabatan Kesihatan, Jabatan Pendidikan dan pihak berkuasa tempatan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini semalam.

Beliau mengulas mengenai notis pemberitahuan yang dikeluarkan Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) semalam berkenaan waktu operasi premis perniagaan di beberapa mukim ekoran penularan Covid-19.

Namun, arahan itu tidak termasuk di stesen minyak, klinik swasta, pasar borong dan kilang.

Notis sama juga menyenaraikan pasar malam dan pasar pagi di daerah itu yang ditutup sementara iaitu di Taman Mutiara, Ke­lang Lama, Sungai Karangan, Merbau Pulas dan Taman Desa Aman.

Muhammad Sanusi berkata, kegiatan penjualan makanan di kawasan yang dilanda Covid-19 juga hanya dibenarkan berope­rasi melalui kaedah bawa pulang atau penghantaran ke rumah.

Ujarnya, pelanggan tidak lagi dibenarkan untuk makan dan minum atau melepak di kedai makanan.

Sementara itu, penduduk di Sungai Karangan, Mohd. Azeman Omar berkata, mereka kini hidup dalam kebimbangan apabila kes positif bagi Kluster Tawar di daerah itu semakin meningkat.

“Apa yang kami risaukan adalah jangkitan turut berlaku di sekolah. Saya telah buat keputusan untuk tidak membenarkan dua anak saya pergi ke sekolah sejak Kluster Tawar dikesan berlaku di Kuala Ketil,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Azlan Mat Desa pula berharap kerajaan dapat melakukan sesuatu bagi membendung penularan jangkitan Covid-19.

“Saya juga tidak lagi membenarkan anak keluar dari rumah dan tidak menghantarnya ke sekolah lebih dua minggu lalu.

“Siapa yang tidak takut de­ngan wabak ini kerana ia me­ngancam nyawa,” ujarnya.

Tinjauan di SJKT Ladang Padang Meiha pula mendapati, suasana lengang, manakala pintu pagar hadapan ditutup dengan pita berwarna merah putih.

Difahamkan, seorang pe­ngawal keselamatan sementara ditugaskan menjaga pintu masuk sekolah itu selepas pengawal ke­selamatan tetap turut diarahkan menjalani kuarantin seperti guru dan murid.

Kluster Tawar dikaitkan dengan kehadiran seorang lelaki ke upacara pengebumian ahli keluarganya yang diadakan dari 31 Julai hingga 1 Ogos lalu.

Setakat ini, sebanyak 55 kes daripada Kluster Tawar dilapor­kan. Ia melibatkan 15 kes di Kulim, Kuala Muda (15) dan Ba­ling (14) di Kedah, manakala di Pulau Pinang membabitkan Timur Laut (6), Barat Daya (4) dan Seberang Perai Utara (1).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI