MACHANG – Menghidap sakit buah pinggang kronik sejak dua tahun lalu menyebabkan seorang penjual ayam terpaksa menjual dua buah mesin memproses ayam yang selama ini menjadi sumber rezekinya untuk menyara keluarga.
Mohd. Zakri Haron, 52, terpaksa membuat keputusan itu selepas isterinya, Siti Rosliza Mat Yusoff, 43, tidak mampu menguruskan mesin-mesin tersebut seorang diri tanpa bantuannya apabila dia sudah tidak lagi mampu bekerja.
Menurut Siti Rosliza, mereka terpaksa menjual mesin itu pada harga RM5,000 sahaja kerana memerlukan wang bagi membiayai perubatan suaminya yang turut menderita penyakit kencing manis dan mempunyai masalah jantung.
“Suami saya kini tidak boleh menguruskan diri dan hanya terlantar di atas katil. Jika mahu bergerak, dia terpaksa menggunakan kerusi roda.
“Saya sekarang hanya menjual sayur-sayuran dan ayam yang siap diproses bagi menyara keluarga,” katanya ketika ditemui di Kampung Jenereh Bongkok, Pulai Chondong di sini baru-baru ini.
Menurutnya, wang hasil perniagaan itu cukup sekadar untuk membeli barangan kelengkapan rumah.
Bagaimanapun, Siti Rosliza bersyukur apabila anak sulungnya yang berusia 21 tahun dan adiknya, 19 tahun boleh membantu menjaga bapa mereka ketika dia keluar bekerja.
“Sejak disahkan menghidap sakit buah pinggang, suami saya memerlukan lampin pakai buang dan susu khas untuk kegunaannya setiap hari.
“Meskipun suami menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250, namun jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung segala perbelanjaan sehingga menyebabkan dia perlu menggagahkan diri untuk keluar berniaga,” ujarnya.
Katanya, kehidupan mereka sekeluarga amat susah terutamanya ketika Mohd. Zakri jatuh sakit sehingga tidak mampu untuk membayar hutang yang tertunggak.
“Setelah menjual mesin-mesin memproses ayam, barulah kami boleh bernafas tanpa dibebani hutang, namun kini perlu bergelut untuk meneruskan kehidupan harian,” katanya.
Prihatin dengan nasib Mohd. Zakri, Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (KELSS) telah menyumbang pelbagai bantuan termasuk kelengkapan untuk rawatan dialisis di rumah dan sebuah katil klinikal untuk kegunaannya.
Orang ramai yang ingin memberi bantuan boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Islam atas nama Siti Rosliza Mat Yusoff, 03045022035881 atau menghubunginya di talian
017-818 1614.