fbpx

7,000 langkah sehari bantu panjangkan usia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang wanita berjalan meregangkan badan sambil berjalan di sebatang jalan di Beijing 18 Ogos lalu. - AFP

BOSTON, Massachusetts – Satu kajian baharu mendapati individu yang berjalan sekitar 7,000 langkah sehari membantu memanjangkan jangka hayat, lapor agensi berita United Press International (UPI) kelmarin.

Kajian yang diketuai oleh seorang penolong profesor di jabatan kinesiologi Universiti Massachusetts, Amanda Paluch itu diterbitkan Jumaat lalu dalam jurnal JAMA Network Open.

Individu yang berjalan sekitar 7,000 langkah sehari mempunyai risiko kematian antara 50 peratus hingga 70 peratus lebih rendah daripada pelbagai jenis penyakit berbanding mereka yang kurang berjalan kaki.

Kajian tersebut dijalankan ke atas wanita dan lelaki pertengahan usia.

Kajian itu juga menunjukkan bahawa berjalan laju tidak semestinya memberikan hasil yang lebih baik dan jumlah langkah dalam satu minit juga didapati tidak mempengaruhi risiko kematian.

“7,000 langkah sehari mungkin merupakan sasaran besar bagi kebanyakan individu yang tidak sampai ke tahap itu.

“Dalam kajian yang dilakukan, kami juga mendapati jumlah langkah yang lebih banyak dikaitkan dengan penurunan risiko kematian,” kata Paluch.

Menurut Dr. Guy Mintz yang merupakan Pengarah Kesihatan Kardiovaskular Northwell di Hospital Jantung Sandra Atlas Bass di New York, kajian tersebut merupakan sesuatu yang amat menarik.

“Anda tidak perlu mendaftar keahlian di gimnasium, atau membeli sebarang peralatan. Anda hanya perlu berjalan,” katanya. 

Kajian tersebut bagaimanapun tidak dibuat untuk menjelaskan bagaimana berjalan kaki boleh mengurangkan risiko kematian.

“Namun, senaman boleh mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular kerana ia memperbaiki tekanan darah, mengurangkan kolesterol dan mengurangkan berat badan.” kata Dr. Mintz. 

Bagi Dr. Michael Massoomi yang merupakan penolong profesor klinikal di Universiti Florida di Gainesville, mereka yang mahu memulakan berjalan tidak perlu terlalu fokus terhadap jumlah langkah.

“Daripada menumpukan untuk berjalan 10,000 langkah sehari, fokus untuk berjalan dalam langkah yang lebih banyak berbanding hari sebelumnya.

“Jika anda berjalan 5,000 langkah semalam, cuba berjalan 6,000 langkah pula keesokan hari dan untuk beberapa minggu akan datang,” katanya. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI