PUTRAJAYA – Keputusan menarik balik 29 pertuduhan rasuah terhadap bekas Ahli Lembaga Pengarah FELDA, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd. Harun Narrashid oleh pihak pendakwaan baru-baru ini adalah berasaskan fakta yang disahkan daripada siasatan lanjut.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan bahawa perkara tersebut bermula apabila tertuduh mengemukakan representasi dan pernyataan pembelaannya di bawah Seksyen 62 Akta SPRM 2009 semasa perbicaraan berlangsung dan susulan itu pihaknya telah menjalankan siasatan lanjut berkenaan pembelaan tersebut.
“Berdasarkan dapatan baharu menerusi keterangan baharu yang dikemukakan, tertuduh berjaya membuktikan bahawa beliau telah membayar balik wang yang didakwa sebagai rasuah itu sebelum siasatan dimulakan.
“Saksi utama turut mengesahkan perkara tersebut sebagai wang pinjaman,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
SPRM berkata, pihaknya merujuk kembali kes berkenaan kepada Pejabat Peguam Negara dan diputuskan perbicaraan tidak diteruskan berdasarkan perkembangan terbaharu siasatan tersebut.
“Keputusan itu dibuat kerana keterangan saksi utama tidak konsisten dengan pihak pendakwaan telah memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung penarikan balik kesemua 29 pertuduhan itu,” katanya.
Katanya, penarikan balik itu dibuat semasa prosiding perbicaraan kes di hadapan Hakim Suzana Hussin pada 21 Mei lalu.
Memetik laporan Bernama pada 1 September lalu, Noor Ehsanuddin dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini atas 29 pertuduhan rasuah, selepas pihak pendakwaan menarik balik kesemua pertuduhan itu.
“Sepatutnya, hari itu (21 Mei) ditetapkan untuk sambung bicara, namun pendakwaan memberitahu mahkamah untuk menarik balik kesemua pertuduhan tersebut.
“Ini berikutan, pihak SPRM telah menyiasat pernyataan pembelaan di bawah Seksyen 62 Akta SPRM dan mereka berpuas hati bahawa kesemua transaksi yang dipertuduhkan adalah wang duluan (advances), yang telah dibayar balik sepenuhnya,” katanya. -K! ONLINE