JOHOR BAHRU – Selepas dilanda banjir kilat tiga hari lalu, penduduk di Batu 10, Kampung Laut, Skudai sekali lagi terpaksa dipindahkan apabila kediaman mereka dinaiki air sekali lagi, semalam.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Skudai, Mohd. Riduan Akhyar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 7.39 malam.
“Setibanya di lokasi, beberapa kediaman di kampung berkenaan telah dinaiki air sekali lagi dan usaha menyelamatkan mangsa terus dilakukan.
“Seramai 28 mangsa termasuklah dua warga emas dan 11 kanak-kanak dipindah dan ditempatkan ke Pusat Pemindahan Sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan Skudai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, setelah kerja-kerja memindahkan mangsa selesai, operasi kemudian ditamatkan pada pukul 12.10 tengah malam.- K! ONLINE