KASUT licin dan hampir terjatuh menjadi punca utama Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi terlepas untuk mempertahankan pingat emas acara 100 meter (m) lelaki T36 (cerebral palsy) pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 semalam.
Ridzuan atau lebih mesra dipanggil ‘Dek Wan’ memulakan pecutan dengan baik di Stadium Olimpik Tokyo dan dilihat berpotensi untuk menyambar pingat.
Begitupun, ketika menuju ke garisan penamat, atlet berusia 34 tahun itu secara tiba-tiba ‘tergelincir’ sebelum dipintas beberapa pencabar lain lalu menyaksikan atlet kelahiran Perlis menamatkan perlumbaan di tempat keempat dengan catatan 12.15 saat (s).
Keputusan itu jauh daripada rekod peribadi terbaiknya, 11.87s, sekali gus terpaksa melepaskan pingat emas yang diraihnya ketika Sukan Paralimpik Rio 2016.
Jurulatih kebangsaan, R. Jeganathan mengakui anak didiknya itu berdepan masalah terutama pada kasut ketika ingin melakukan pecutan terakhir.
“Saya akui dia berlumba dengan semangat yang baik hari ini (semalam) dan kalau kita tengok perlumbaan tadi, pada jarak 20 meter terakhir Dek Wan tiba-tiba perlahan.
“Dia memberitahu saya, bahawa kasut spikenya licin ketika cuba buka langkah selepas mendapati beberapa pesaing cuba memintasnya. Itu sebab dia dilihat perlahan pada penghujung perlumbaan.
“Saya tidak halang dia mahu guna kasut lama sebab ia boleh kacau mood dia. Itu pilihannya, lagi pun Dek Wan kata dia selesa menggunakan kasut itu,” katanya semalam.
Pada saingan itu, pingat emas menjadi milik pelari China, Peicheng Deng dengan catatan 11.85s, sekali gus mencatat rekod baharu temasya. Pelari Australia, James Turner yang dijangka meraih emas di Tokyo terpaksa berpuas hati dengan pingat perak (12.00s) dan gangsa menjadi milik pelari Argentina, Alexis Sebastian Chavez (12.02s).