KETUA jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan sangat berpuas hati apabila dapat membantu pasukan terselamat dalam kelompok elit apabila kekal bersaing pada Liga Super musim depan.
Sebagai rekod, skuad Sang Kancil berjaya meraih tiga mata penuh selepas menewaskan Perak FC dengan keputusan 2-1 pada aksi di Stadium Hang Jebat kelmarin.
Kata Zainal, apa yang dipamerkan oleh pasukannya untuk bangkit daripada ketinggalan 0-1 pada babak pertama sangat luar biasa kerana ia menuntut komitmen tinggi memandangkan Perak FC memberikan tentangan yang sangat sengit.
“Saya sangat bersyukur apabila kami meraih tiga mata yang dapat mengesahkan status pasukan untuk kekal dalam kempen Liga Super musim depan.
“Saya lihat pemain agak tertekan pada babak pertama apabila ketinggalan 0-1 dengan corak permainan yang mereka tampilkan dan tidak seperti yang saya harapkan.
“Namun, situasi berbeza pada babak kedua yang mana kami sudah mula menyerap tekanan dan dapat menjaringkan dua gol menarik meskipun ada beberapa peluang lagi yang disia-siakan oleh pemain.
“Apa yang pasti, pujian juga wajar diberikan kepada pasukan pelawat yang memberikan tentangan sengit kerana mereka juga mahukan tiga mata untuk menghidupkan peluang kekal bersaing pada Liga Super tetapi tidak berjaya,” katanya.
Pada aksi tersebut, skuad Sang Kancil berjaya meraih gol menerusi ledakan dua pemain import, Manuel Ott dan Sony Norde sebelum tamat babak kedua.