Nama gadis Pesona Ahad pada minggu ini tidak asing lagi di pentas peragaan sama ada di dalam atau luar negara.
Neesa Sodirman sebelum ini kerap memperagakan pakaian daripada pereka terkenal seperti Melinda Looi. Kali terakhir gadis ini terbabit dalam di pentas peragaan untuk Romyda KL pada Mac lalu.
Gadis berusia 30 tahun dan berasal dari Melaka ini pernah merangkul tempat kedua dalam pertandingan ratu cantik Miss Harmony World 2020.
Dianugerahkan wajah berbentuk bujur sireh dan manis tatkala menguntum senyuman bukan tiket untuk anak pertama daripada enam beradik ini mengorak langkah dengan mudah, sebaliknya terpaksa menempuh liku-liku sebelum berjaya menempatkan diri dalam dunia peragaan.
Kepada Kosmo! Ahad, graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi itu berkongsi kisah pahit manis yang dilaluinya sebelum bergelar supermodel.
Kosmo! Ahad: Ceritakan mengenai bidang peragaan yang diceburi?
Neesa: Saya mula menyertai bidang ini pada usia 19 tahun. Pada mulanya sekadar hobi, namun lama-kelamaan timbul minat. Saya bermula sebagai model di Melaka, tetapi pertunjukan fesyen apa saya sudah tidak ingat.
Bagaimana boleh terjebak dalam bidang ini?
Ia bermula apabila rakan-rakan mengajak casting dan saya tiba-tiba terpilih.
Siapa pendorong Neesa?
Keluarga dan rakan-rakan. Mereka sentiasa beri kata-kata semangat untuk saya terus maju ke hadapan walaupun ada ketikanya berasa hampir putus asa.
Mengapa berputus asa, boleh ceritakan?
Keadaan ini berlaku apabila anda melihat orang ramai mula mencaci dan mengaitkan dunia peragaan dengan hal-hal yang negatif selain dikatakan terlalu seksi. Ini sedikit sebanyak menurunkan moral saya. Saya tahu apa yang saya lakukan dan yakin boleh bawa diri. Saya menceburi bidang ini sebab minat.
Pencapaian terbaik yang dikecapi setakat ini?
Pada Disember 2020, saya mewakili Malaysia dalam pertandingan Miss Harmony World 2020 yang diadakan secara maya dan merangkul gelaran naib juara serta membawa pulang Anugerah Duta Oilum. Saya bangga dapat membawa nama Malaysia di peringkat antarabangsa.
Pernah dicemuh?
Ya, antara yang mengejutkan apabila ada segelintir pihak memandang serong dengan mengatakan bidang ini untuk mereka yang tidak mempunyai kelayakan akademik. Saya faham mulut orang tak boleh ditutup. Komen-komen negatif saya ambil juga untuk perbaiki kelemahan selain pembakar semangat untuk melangkah lebih jauh.
Siapa Neesa selain model?
Saya pernah menjadi wartawan sukan selama setahun sebelum bekerja di sebuah firma swasta di ibu negara hingga kini.
Sebagai influencer, apa yang Neesa dilakukan untuk membantu negara di kala pandemik ini?
Hampir setiap hari saya menekankan tentang amalan gaya hidup sihat dengan bersenam serta menjaga pemakanan.
Saya juga selalu memfokuskan tentang kesihatan mental. Ia bukan isu ringan kerana ramai yang terkesan akibat pandemik, jika anda perlukan bantuan pilihlah medium yang betul dan ambil tahu individu di sekeliling kita. -K! ONLINE