LONDON – Pengurus England, Gareth Southgate bakal merombak kesebelasan utamanya menjelang aksi bertemu Andorra untuk kempen Kumpulan I kelayakan Piala Dunia 2022 di Stadium Wembley awal pagi esok.
Antara pemain mungkin diberikan peluang beraksi ialah Conor Coady, Jordan Henderson dan Bukayo Saka serta penyerang Leeds United, Patrick Bamford yang bakal membuat debut antarabangsa pertamanya.
Kata Southgate, kelebihan dimiliki skuad The Three Lions ketika ini adalah kualiti pemain yang cukup seimbang daripada kesebelasan utama hingga barisan simpanan kerana jurang perbezaan antara mereka tidak terlalu ketara.
“Saya berbangga apabila dapat membimbing pasukan yang memanggil semua pemain terbaik di England. Jadi, saya mahu membuat beberapa perubahan dalam kesebelasan utama untuk aksi bertemu Andorra nanti.
“Pemain-pemain yang beraksi cemerlang ketika bertemu Hungary perlu diberikan rehat secukupnya seperti Raheem Sterling. Saya pasti penyokong juga akan teruja melihat pasukan di Wembley buat kali pertama sejak Euro 2020,” katanya.
Sementara itu, Bamford mengakui, dia mampu menawarkan sesuatu yang berbeza kepada Southgate berbanding Harry Kane jika diberi peluang menyarung jersi No. 9 The Three Lions untuk aksi tersebut.
“Kita semua tahu kualiti Kane kerana dia dianggap sebagai salah seorang penyerang terbaik di dunia ketika ini.
“Namun, corak permainan kami berbeza dan sekiranya diberi peluang, sudah tentu saya mahu membuktikan sesuatu yang berbeza di atas padang,” kata Bamford. – AGENSI