fbpx

Khairul Idham hadapi masalah komunikasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAZLAN mengakui masalah komunikasi mungkin punca Khairul Idham masih gagal mendapat keputusan positif dalam perlumbaan Moto3.

KOMUNIKASI antara pelumba dan pasukan dalam saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) amat penting bagi menjamin seseorang pelumba itu mampu mendapatkan pela­rasan jentera terbaik ketika perlumbaan.

Disebabkan itu, rata-rata pelumba dalam saingan kelas premier MotoGP sanggup membawa ketua kru dan jurutera bersama mereka sekiranya menyertai pasukan berbeza.

Misalnya, juara dunia MotoGP tujuh kali, Valentino Rossi membawa semua kru ter­ba­ik­nya setiap kali menyertai pa­sukan berbeza daripada Honda ke Yamaha (2004), Yamaha ke Ducati (2011) dan Ducati ke Yamaha (2013).

Prinsipal pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Datuk Razlan Razali mengakui masalah komunikasi berlaku dalam pasukannya terutama pasukan Moto3.

“Saya percaya, masalah komunikasi berlaku terutama melibatkan pelumba negara seperti Khairul Idham Pawi. Kita faham pelumba-pelumba kita tidak fasih berbahasa Ing­geris dan jurutera juga me­ngalami masalah sama.

“Ketua kru pasukan Khairul Idham dari Perancis dan mungkin mereka berdepan masalah komunikasi serta sukar untuk memahami satu sama lain terutama soal pelarasan. Seperti pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah dilihat tidak berdepan masalah dengan kru dari Sepanyol kerana dia sudah bersama pasukan tersebut sejak perlumbaan CEV lagi.

“Saya yakin Khairul Idham dan pasukannya mampu dapat keserasian tidak lama lagi memandangkan ini tahun pertama dia dalam saingan Moto3,” kata Razlan kepada Kosmo!

Pasukan Petronas Sprinta Racing dilihat bekerja keras untuk mencari pelarasan jentera terbaik seperti yang dilakukan ketika pelumba Moto3 negara itu meraih dua kemenangan pada tahun 2016.

Bagaimanapun, Khairul Idham dilihat masih bergelut dengan jentera dan ini membuatkan pasukan menjadi pe­ning kepala bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI