KLANG – Gara-gara kemaruk seks, seorang pengawal keselamatan sanggup memecah masuk rumah kekasihnya bagi melempias nafsu dalam kejadian di Taman Sentosa di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 6.45 petang itu, usaha suspek berusia 37 tahun bukan sahaja gagal malah dia kemudian diberkas polis kira-kira tiga jam kemudian di tepi jalan berhampiran rumah kekasihnya.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan awal mendapati suspek datang ke rumah sewa mangsa sebelum memotong kunci mangga pagar rumah serta gril pintu hadapan menggunakan alat pemotong besi.
Katanya, semasa kejadian, mangsa yang menganggur tinggal seorang diri di rumahnya.
“Sebaik berjaya memasuki rumah tersebut, suspek memukul mangsa di badan dengan tangan.
“Tindakan suspek membuatkan mangsa sakit dada disebabkan terkena kuku,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Kata beliau, melihat keadaan itu, suspek segera beredar dengan sebuah kereta jenis Toyota Vios dengan rakannya berusia 17 tahun.
Bertindak atas maklumat, pasukan unit peronda polis (MPV) menahan suspek pukul 9.30 malam bersama alat pemotong besi digunakan.
“Suspek dan mangsa bercinta hampir dua tahun dan kejadian dipercayai berlaku apabila suspek mahu melakukan seks, namun mangsa enggan menuruti kehendaknya,” jelasnya.
Suspek mempunyai 12 rekod jenayah kes pecah rumah, khianat dan dadah. -K! ONLINE.