IPOH – Seramai 10,000 pekerja sektor peruncitan di bandar ini bakal menerima suntikan vaksin menerusi Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RIVAC) di pusat beli-belah AEON Midtown Falim di sini.
Ia merupakan pusat pemberian vaksin (PPV) pertama di Perak yang terletak di dalam pusat beli-belah.
Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Albert Ho berkata, program vaksinasi tersebut diharap dapat membantu negeri Perak mencapai sasaran imuniti kelompok secepat mungkin.
Menurut beliau, cadangan membuka PPV ini telah dipromosikan secara aktif oleh Dewan Perdagangan dan Industri Cina Perak serta pihak pengurusan AEON.
“Ia mendapat sokongan penuh kerajaan negeri menerusi Exco Kesihatan dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.
“PPV ini akan diketuai oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selaku agensi bertanggungjawab,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau persiapan tempat pada PPV berkenaan semalam.
Albert Ho berkata, pihaknya turut mengucapkan terima kasih pada Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 yang memberikan kebenaran untuk melaksanakan program itu selama seminggu.
“Apabila negeri Perak boleh memasuki fasa ketiga dan keempat dalam Pelan Pemulihan Negara maka semua industri dapat kembali beroperasi sepenuhnya.
“Kita juga berharap PPV ini dapat dibuka terus setelah selesai vaksinasi pekerja runcit bagi tujuan pemberian vaksin kepada orang ramai,” ujarnya. -K! ONLINE.