KOTA KINABALU – Mangsa yang terlibat dalam kejadian dihanyutkan arus deras di Jalan Kionsom Lama semalam ditemui lemas berikutan penemuan kereta jenis Perodua Myvi di sungai Kampung Dambai, Inanam, pagi tadi.
Kenderaan itu ditemui pada pukul 7.20 pagi oleh penduduk kampung yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira tiga kilometer dari lokasi kenderaan tersebut hanyut.
Bagaimanapun, mangsa dapat dikeluarkan pada pukul 11.05 pagi menggunakan jengkaut.
Ketua Operasi, Kenneth Willfred berkata, pihaknya menghadapi kesukaran disebabkan kedudukan kereta yang berada di dasar sungai selain kenderaan dipenuhi pasir.
“Kita mendapat bantuan dua buah jengkaut dari tapak pembinaan berhampiran untuk menarik keluar Perodua Myvi tersebut.
“Seorang mangsa, lelaki berusia 37 tahun dipercayai penumpang ditemui di dalam kereta itu. Seorang lagi mangsa lelaki yang juga pemandu berusia 68 tahun masih hilang,” katanya.
Dalam pada itu, Kenneth memaklumkan, pihaknya sudah mengarahkan tiga kumpulan melaksanakan operasi SAR bagi mencari seorang lagi mangsa yang masih hilang.- K! ONLINE.