PONTIAN – Tindakan seorang warga tempatan yang menjadikan dua buah premis perniagaan di Taman Pontian Jaya di sini, sebagai tempat menyimpan rokok seludup menerima padah apabila diserbu oleh pihak berkuasa petang semalam.
Pegawai Pemerintah, Batalion 5, Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam, Superintendan Dimin Awang berkata, serbuan dilakukan pada pukul 4.30 petang.
Menurutnya, sebanyak 1,661 karton rokok pelbagai jenama dirampas dipercayai untuk diedarkan di daerah ini.
“Sindiket ini dipercayai baru beroperasi selama tiga bulan dengan menjadikan stor di premis tersebut sebagai tempat penyimpanan sementara sebelum rokok seludup itu diedarkan untuk pasaran tempatan.
“Penahanan suspek lelaki berusia 57 serta barangan rampasan telah berjaya memutuskan rangkaian pengedaran rokok tidak bercukai di sini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Dimin, anggaran keseluruhan rampasan termasuk sebuah kereta Toyota Vios yang digunakan untuk bagi aktiviti tesebut berjumlah RM360,098.
Katanya, suspek serta barangan rampasan serta kenderaan telah dibawa ke Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Pontian bagi tindakan selanjutnya.
Kes akan disiasat dibawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.-K! ONLINE