PETALING JAYA – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan melaksanakan Latihan dan Demonstrasi Keupayaan Operasi Khas di kawasan Pantai Hiburan dan sekitar Kuala Rompin, di Rompin, Pahang selama lima hari bermula hari ini.
TUDM dalam satu kenyataan berkata, sepanjang latihan dijalankan, pesawat-pesawat pejuang dan helikopter akan melaksanakan penerbangan rendah serta membuat penerbangan taktikal bagi latihan demonstrasi keupayaan khas tersebut.
“Orang ramai adalah dinasihatkan tidak cemas dan risau sekiranya melihat pesawat-pesawat TUDM terbang rendah dan jika terdengar bunyi letupan atau tembakan senjata api di sepanjang tempoh latihan.
“Latihan ini diadakan oleh TUDM bagi memastikan keupayaan dan kesiapsiagaan pasukan sentiasa berada di tahap yang terbaik khususnya dalam melindungi kedaulatan ruang udara negara,” katanya di sini hari ini. – K! ONLINE.