KOTA KINABALU – Seramai 96 mangsa banjir melibatkan 31 keluarga di tiga daerah di Sabah ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) hari ini.
Setakat pukul 9 pagi tadi, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 96 orang berbanding 68 mangsa daripada 21 keluarga pada petang semalam.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berkata, tiga daerah yang masih dilanda banjir ialah Beaufort, Sipitang dan Penampang.
“Beaufort kekal merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 78 orang membabitkan 26 keluarga.
“Semua penduduk terjejas banjir ditempatkan di PPS Dewan Datuk Seri Panglima Mohd. Dun Banir.
“Bilangan mangsa banjir di Sipitang pula kekal iaitu 15 orang daripada empat keluarga yang kini berada di PPS Dewan Mini Mesapol manakala tiga orang penduduk dipindahkan ke PPS Rumah Kelab Kompleks Sukan Penampang,” katanya dalam kenyataan di sini sebentar tadi.
Sementara itu, Jurucakap APM Sabah mengingatkan penduduk setempat agar sentiasa berwaspada dan peka situasi terkini di daerah masing-masing khususnya sewaktu hujan lebat yang sudah berlarutan beberapa jam.-K! ONLINE.