SEBERANG PERAI – Seorang pekerja pemasangan sistem solar terbunuh selepas terjatuh dari bumbung sebuah kilang di Simpang Ampat, Nibong Tebal di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 petang itu, mangsa warga asing tersebut maut di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah.
Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) negeri dalam satu kenyataan berkata, kejadian berlaku ketika pekerja kontraktor itu sedang melakukan kerja-kerja pemasangan sistem solar.
“Mangsa telah ditemui oleh pekerja kilang tersebut dalam keadaan terlentang di aras satu bangunan kilang.
“Mangsa didapati terjatuh dari bumbung akibat terpijak bumbung lutsinar (skylight) di salah satu bangunan di kilang,” kata kenyataan itu hari ini.
Kenyataan tersebut menambah, satu Notis Larangan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 kerana gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja semasa bekerja sehingga menyebabkan kemalangan dikeluarkan pihaknya.
“Lokasi kejadian disita dan kerja-kerja pemasangan sistem solar dihentikan serta merta sehingga siasatan selesai dijalankan.
“Majikan juga diarahkan menyediakan dokumen tambahan bagi membantu proses siasatan lanjut dengan segera,” kata kenyataan itu lagi.
Kes berkenaan disiasat di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929