fbpx

Bersabarlah duhai kaki travel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
DALIZA ARIFFIN, PENOLONG PENGARANG BERITA

 

Menyambut Hari Kebangsaan yang ke-63 tahun pada bulan Ogos di salah sebuah bandar popular di Rusia kerana kami merancang menaiki kereta api di laluan Trans Siberia Railway (TSR) dari Vladivostok ke Moscow.

Pastinya indah pengembaraan menaiki kereta api di laluan kereta api terpanjang di dunia sejauh 9,288 kilometer dengan merentasi tujuh zon masa kerana laluan ke timur Rusia itu sedang mengalami musim luruh.

Perancangan tersebut telah dibuat bersama rakan kembara setia sejak setahun lalu, namun ketentuan Allah lebih baik, penulis terpaksa menarik diri daripada pengembaraan berkenaan kerana masalah berkaitan penutupan Utusan Melayu (M) Bhd. yang menyebabkan ratusan kakitangannya diberhentikan tanpa sebarang ‘modal besar’.

Impian dan minat mengembara di luar negara itu terpaksa dipendam buat sementara waktu dan ia diperkuatkan lagi wabak bahaya Covid-19 yang menular ke seluruh dunia.

Krisis kesihatan dan keselamatan itu menyebabkan pintu sempadan negara ditutup bukan sahaja di Malaysia tetapi juga banyak lagi negara sekali gus memberi impak negatif kepada industri penerbangan dan juga pelancongan.

Melihat kepada persekitaran dan isu semasa, pastinya pandemik wabak ini akan berlarutan sehingga tempoh yang agak lama dan mungkin kaki travel terpaksa menunggu selepas tahun 2022 bagi membolehkan mereka terbang semula.

Namun, apa salahnya mereka kini memberi tumpuan kepada pelancongan domestik kerana Malaysia memiliki pusat tarikannya yang tersendiri, malah lebih menjimatkan perbelanjaan dan lebih menarik memori percutian tersebut dapat dikongsi bersama ahli keluarga dan rakan-rakan.

Melalui aplikasi tempahan hotel yang memudahkan pelancong mendapatkan informasi lengkap mengenai pakej percutian, mereka kini mampu bersantai di hotel lima bintang mengikut bajet masing-masing.

Insentif kerajaan yang menawarkan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 ke atas perbelanjaan melancong di dalam negara sehingga akhir tahun ini juga jangan dilepaskan, rebutlah peluang menarik itu.

Jadi ubati rindu anda untuk bercuti di luar negara dengan berkunjung ke beberapa taman negara yang menjanjikan pengalaman mencabar dan pulau-pulau menarik khususnya di Sabah dan Terengganu yang pastinya menawarkan aktiviti berasaskan air yang menerujakan.

Lupakan seketika impian untuk bermain salji, membeli-belah barangan berjenama mewah di kota London atau Paris selain berswafoto di taman bunga tulip.

Buat sementara waktu ini, hayatilah keindahan panorama, alam semulajadi, fauna dan flora di depan mata kita kerana ia pastinya menjanjikan seribu ketenangan dan kesyukuran.

Bercuti di dalam negara bukan merendahkan imej anda sebagai kaki travel tetapi ia pastinya bakal menyumbang kepada pendapatan dalam sektor berkenaan yang hampir lumpuh sebelum ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI