PETALING JAYA – Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) semalam melancarkan Kempen Skim Potongan Zakat Bulanan (PZB) Khas warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berlangsung selama empat bulan bermula Ogos hingga Disember 2021.
Objektif kempen berkenaan ialah menggalakkan lebih ramai warga PDRM, khususnya di Wilayah Persekutuan untuk menunaikan zakat pendapatan secara bulanan melalui potongan gaji, selain mendorong mereka mengekalkan dan menambah pembayaran zakat di PPZ-MAIWP.
Ia juga salah satu inisiatif bagi memastikan wang zakat cukup untuk menampung perbelanjaan asnaf, selari dengan slogan kempen iaitu ‘Kitalah Wira Asnaf’.
Warga PDRM yang bertuah berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik seperti komputer riba, tablet, telefon pintar, penggoreng udara dan baucar beli-belah.
Pelancaran dibuat secara dalam talian oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Haji Mazlan Lazim dan turut disertai oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman.
Abdul Hakim berkata, berdasarkan rekod pembayar PPZ-MAIWP, seramai 2,705 warga PDRM telah membuat potongan zakat secara bulanan melalui Skim PZB dengan bayaran zakat melebihi RM1 juta.
“InsyaAllah dengan adanya kempen ini, kami yakin lebih banyak warga PDRM akan membuat potongan zakat secara bulanan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Mazlan berkata, bermula tahun 2021, PDRM telah mengorak langkah ke arah menggalakkan warga PDRM di semua peringkat untuk membuat bayaran zakat melalui kaedah potongan gaji di PPZ-MAIWP.
“Kami menyasarkan 80 peratus warga PDRM membuat potongan gaji zakat agar manfaatnya dapat diberikan semula kepada warga PDRM yang memerlukan melalui wakalah majikan yang diagihkan di seluruh negara.
“Justeru itu, saya ingin menyeru kepada semua warga PDRM untuk bertindak segera membuat potongan gaji zakat kerana ianya lebih konsisten, di samping dapat meningkatkan peratus penerimaan wang wakalah daripada 12.5 peratus kepada 37.5 peratus,” tambahnya.
Antara kelebihan lain Skim PZB adalah majikan layak mendapat Skim Wakalah, atau pengembalian semula wang zakat sebanyak 12.5 peratus hingga 37.5 peratus jika potongan gaji kakitangan melebihi RM100,000.
MAIWP yang berperanan menjalankan agihan zakat di Wilayah Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk membantu lebih 27,000 keluarga asnaf setiap bulan dan jumlah ini dijangka akan terus
meningkat.
Setakat Januari hingga Jun 2021, MAIWP telah mengagihkan sebanyak RM373.7 juta bantuan zakat kepada asnaf-asnaf di Wilayah Persekutuan dan dana yang diperuntukkan adalah bergantung sepenuhnya dengan hasil kutipan wang zakat.
Maklumat lanjut boleh didapati di https://bit.ly/pzb-pdrm atau hubungi talian zakat 1 300 88 5757. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929