JOHOR BAHRU – “Rasa puas dapat tembak komunis.”
Demikian tegas bekas Renjer Batalion Ketiga, Sarjan (B) Karim Wagiman, 70, dari Rejimen Renjer Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengimbau kisah 48 tahun lalu ketika menyertai skuad 3 Renjer di hutan belantara Nonukan, Sarawak.
Ketika itu, dia merupakan anggota renjer termuda dalam skuad tersebut yang ditugaskan memburu pengganas komunis di hutan bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia.
Anak keempat dari tujuh beradik itu berjaya membuktikan darah mudanya tidakgentar untuk memerangi musuh negara ketika itu.
Berbekalkan latihan keras selama tiga bulan, Karim berjaya memasuki pasukan ATM dalam unit Renjer berpengkalan di Taiping, Perak.
“Ketika bertugas dalam hutan di kawasan Nonukan, Sarawak, saya ditugaskan di barisan hadapan sebagai skuad pengesan,’’ katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bendahara di sini baru-baru ini.
“Rasa puas apabila berjaya menembak komunis yang menjadi musuh negara,” katanya.
Anak kelahiran Pontian itu pernah mengikuti beberapa operasi di dalam hutan di Semenanjung, tetapi operasi di Sarawak merupakan tugasan pertamanya bertempur dengan komunis dalam usia 23 tahun.
Kini, semuanya tinggal kenangan yang sukar untuk dilupakan selama 21 tahun berkhidmat sebagai anggota renjer.
Sepanjang berada dalam pasukan renjer, Karim bukan setakat pandai bermain senjata, malah mahir bermain gitar dan berjaya menubuhkan kurigan dalam kalangan anggota renjer sehingga mendapat undangan membuat persembahan dalam majlis keramaian ATM.
Setelah bersara, dia kini bergiat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dengan menjadi Pengerusi Rukun Tetangga Kampung Bendahara, Pengerusi Masjid Ubudiyah juga bertindak sebagai muazin dan tenaga pengajar bacaan berzanji.