JAGUH badminton para negara, Cheah Liek Hou enggan terlalu selesa dengan tiga kemenangan berturut-turut di peringkat kumpulan, sebaliknya berwaspada untuk aksi separuh akhir Sukan Paralimpik Tokyo 2020 esok.
Liek Hou menepati ramalan apabila mengatasi pemain Jepun, Taiyo Imai dengan keputusan 21-19, 21-12 di Gimnasium Nasional Yoyogi hari ini sekali gus menjuarai Kumpulan B perseorangan lelaki kategori SU5.
Bagaimanapun, juara dunia enam kali itu mengakui, perlu berhati-hati apabila berdepan pemain Taiwan, Fang Jen-yu meskipun pernah menewaskan lawan berusia 22 tahun tersebut.
“Pada aksi separuh akhir, saya tidak boleh pandang rendah pemain muda Taiwan walaupun pernah menewaskannya di peringkat kumpulan.
“Saya akan bersiap sedia kerana mungkin dia akan menukar strategi. Jadi saya perlu berwaspada dengan ancaman daripada pemain Taiwan tersebut,” katanya.
Dalam dua perlawanan awal sebelum ini, Liek Hou menang 21-3, 21-2 ke atas Ahmed Eldakror dari Mesir 21-3, 21-2 sebelum menundukkan Fang Jen-yu 21-13, 21-9.
Sebagai rekod, Liek Hou adalah sandaran utama kontinjen negara untuk meraih pingat emas pada temasya sukan empat tahun sekali itu berdasarkan kejayaam menjuarai Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Dubai dan Sepanyol sebelum ini. – K! ONLINE