KUALA PERLIS – Seorang nelayan berjaya menyelamatkan seekor ikan lumba-lumba dewasa bersama anak yang baru dilahirkan di kawasan pantai berlumpur di Kuala Sungai Baru dekat sini hari ini.
Menurut Suhaimi Azizan, 42, dia dimaklumkan tentang penemuan haiwan itu oleh rakannya dan terus bergegas ke kawasan persisiran pantai tersebut kira-kira pukul 3.30 petang.
“Saya terus meredah lumpur melepasi paras lutut sejauh kira-kira 300 meter sebelum mendapati terdapat dua ekor ikan lumba-lumba yang terperangkap akibat air surut.
“Ikan lumba-lumba itu dianggarkan seberat 200 kilogram (kg) manakala anaknya yang masih bertali pusat pula dianggarkan seberat 20 kg,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, dia kemudian bertindak menolak ikan lumba-lumba dewasa itu ke dalam kawasan air laut lebih dalam sejauh kira-kira 50 meter diikuti anaknya yang mengambil masa kira-kira 20 minit.
“Ikan lumba-lumba dewasa itu terus berenang ke tengah laut sebaik sahaja saya selesai menolak anaknya keluar dari kawasan berlumpur,” ujarnya.
Tambahnya, dia percaya dua ekor ikan lumba-lumba itu boleh mati sekiranya terperangkap dalam tempoh masa lama. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929