STOCKHOLM – Ketua jurulatih Sepanyol, Luis Enrique mengkritik barisan pemainnya yang mempamerkan aksi di bawah tahap sebenar selepas tewas 1-2 kepada Sweden pada aksi Kumpulan B kelayakan Piala Dunia 2022 di Friends Arena awal pagi semalam.
Skuad La Roja terlebih dahulu berjaya mendahului menerusi Carlos Soler tetapi Sweden mempamerkan kebangkitan dramatik untuk meraih tiga mata hasil jaringan Alexander Isak dan Viktor Claesson.
Lebih malang, keputusan itu menyaksikan rekod 28 tahun Sepanyol tanpa kalah sepanjang kempen kelayakan Piala Dunia akhirnya lebur.
Enrique menegaskan, anak-anak buahnya wajar dikritik kerana mudah kehilangan bola serta gagal menguasai perlawanan selain membuka ruang dan peluang buat Sweden mengancam kubu pertahanan mereka.
“Kami agak lemah daripada aspek individu pada aksi kali ini kerana corak permainan dipamerkan barisan pemain tidak seperti yang saya gambarkan. Kami berusaha untuk meraih keputusan seri dengan membuat rombakan, namun ia sudah terlewat.
“Saya tidak menganggap ini adalah perlawanan yang teruk tetapi saya percaya mereka boleh mempamerkan prestasi lebih baik. Kini, saya mahu pasukan mempamerkan rentak sebenar untuk dua aksi akan datang,” katanya.
Sementara itu, pengendali Sweden, Janne Andersson enggan pasukannya mendabik dada, sebaliknya terus fokus memburu kemenangan menjelang aksi kelayakan seterusnya bertemu Greece.
“Kami akan bermain perlawanan persahabatan menentang Uzbekistan awal pagi Isnin nanti tetapi tumpuan utama sudah tentu mahu memburu tiga mata pada aksi kelayakan menentang Greece minggu depan,” katanya. – AGENSI