fbpx

24 pelajar penerima biasiswa PNB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penerima Anugerah Biasiswa Luar Negara PNB 2021 menerima surat tawaran daripada Ahmad Zulqarnain dalam majlis yang diadakan secara maya hari ini. Turut hadir beberapa ahli Kepimpinan PNB termasuk Timbalan Presiden dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Datuk Mohd Nizam Zainordin.

PETALING JAYA – Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini telah menyampaikan surat tawaran Anugerah Biasiswa Luar Negara PNB 2021 kepada 24 penerima anugerah yang berjaya terpilih.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, biasiswa ini memberi peluang kepada pelajar yang cemerlang dalam Sijil Peperiksaan Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pengajian di universiti terkemuka di United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia.

“Saya mengucapkan tahniah kepada para penerima kerana mempunyai iltizam dan kesungguhan yang tinggi untuk melanjutkan pelajaran.

“Sebagai sebuah institusi yang diamanahkan dengan mandat sosial, PNB kekal konsisten memainkan peranan dalam pembangunan negara, dengan usaha pembangunan berterusan bagi melahirkan para pemimpin masa depan di Malaysia,” jelasnya melalui satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, setelah menamatkan pengajian para pelajar ini akan berpeluang untuk turut sama menyertai PNB dalam usaha mencapai matlamat menjadi sebuah institusi pelaburan distinktif bertaraf dunia.

“Sejak program biasiswa diperkenalkan pada tahun 1996, PNB telah menyumbang sejumlah RM341 juta untuk menaja lebih daripada 5,000 anak muda Malaysia yang berkelayakan,” katanya.

Kesemua pelajar terlebih dahulu akan mengikuti pengajian program A-Level selama dua tahun di Kolej Yayasan UEM (KYUEM) sebelum meneruskan pengajian ke peringkat sarjana muda dalam pelbagai bidang berkaitan.

Antaranya dengan portfolio perniagaan PNB seperti perakaunan, kewangan, undang-undang, matematik, sains aktuari, sains komputer dan kejuruteraan.

Katanya lagi, program itu merupakan komponen utama dalam inisiatif pengurusan bakat dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dirancang untuk memberi faedah secara langsung dan bermakna kepada pihak berkepentingan syarikat serta untuk memenuhi keperluan masyarakat.

“Empat teras program CSR PNB adalah Pendidikan, Literasi Kewangan, Peningkatan Taraf Hidup Masyarakat dan Inisiatif Perkongsian Pengetahuan,” ujarnya.

Untuk maklumat lanjut tentang program biasiswa PNB, sila lawati https://bit.ly/PNBAR20BM dan juga Instagram, Facebook serta LinkedIn rasmi PNB. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI