KANGAR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membayar jaminan sebanyak RM2,000 yang dikenakan ke atas wanita yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan mencuri tabung masjid.
Tertuduh, Nor Amira Roslan, 28, dijamin oleh Ketua Badan Kepimpinan Bersatu Negeri Perlis, Abu Bakar Hamzah.
Nor Amira sebelum itu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kangar di sini kira-kira pukul 12.50 tengah hari ini dan dibebaskan kira-kira 22 minit kemudian.
Menurut Abu Bakar, pihaknya menerima arahan daripada Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dibantu oleh Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang mahu isu itu diselesaikan segera.
Katanya, usaha tersebut dilakukan kerana tidak mahu rakyat yang sudah pun berdepan dengan kesempitan hidup ditambah lagi kesusahan mereka terutama ketika berdepan pandemik Covid-19.
Dalam pada itu, Nor Amira yang sebak dan terharu dengan pertolongan diberikan itu mengucapkan terima kasih kepada pihak Abu Bakar.
“Jika tidak dijamin, saya terpaksa duduk di penjara. Alhamdulillah kerana bagi peluang kepada saya untuk buka buku baharu.
“Saya pun minta maaf atas kesilapan saya dan berjanji dengan bantuan yang diberikan saya akan memulakan hidup baru,” ujarnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929