fbpx

Wanita dijel 18 bulan, ambil vaksin guna identiti orang lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh diiringi anggota polis selepas dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

MELAKA – Padah menggunakan pasport milik individu lain untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19, seorang wanita warga asing dijatuhi hukuman penjara 18 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, That That Mar, 27, yang membuat pengakuan tersebut sebaik sahaja tiga pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin.

Mengikut pertuduhan satu dan dua, tertuduh didapati telah memperdayakan seorang doktor dan jururawat dengan menggunakan pasport milik individu lain, Than Lin Tun bagi mendapatkan suntikan dos pertama dan kedua vaksin Covid-19.

Tindakan itu dilakukan tertuduh di Klinik Medidion, Taman Cheng Perdana, dalam daerah Melaka Tengah pada 28 Julai dan 18 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh yang bekerja sebagai pembantu sebuah kedai makan didapati telah masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah dan didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga lima tahun atau didenda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya dan boleh juga dikenakan maksimum enam sebatan. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN