PETALING JAYA – Menyedari kewujudan sijil vaksinasi palsu yang menular menjadi sindiket ketika ini, selebriti popular Neelofa mencadangkan agar foto profil pengguna diletakkan dalam sijil digital individu yang telah lengkap dua dos vaksin.
Cadangan tersebut diutarakan oleh pemilik nama penuh Noor Neelofa Mohd Noor, 32, dalam InstaStorynya malam tadi.
Ujarnya, cadangan meletakkan foto pemilik profil ialah bertujuan untuk mengelakkan berlaku penipuan atau salah guna sijil milik orang lain.
Dalam perkongsian tersebut juga, dia juga mengulang siar hantaran Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mengenai peringatan agar peniaga perlu memastikan pelanggan menunjukkan bukti sijil digital vaksinasi bukannya foto tangkap layar.
“Cadang untuk meletakkan juga foto pemilik profil dalam sijil digital vaksinasi lengkap sebab ramai yang tidak jujur,” kata pelakon drama Suri Hati Mr. Pilot itu ringkas.
Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan aplikasi MySejahtera akan ditambah baik bermula malam tadi.
Antara penambahbaikan yang dilakukan ialah pengesanan untuk mengenal pasti status vaksinasi seseorang.
Selain itu, terdapat juga butang daftar keluar (checkout) untuk mengesan lokasi pemilik profil. – K! ONLINE