PANDEMIK Covid-19 yang melanda dunia telah meninggalkan kesan yang amat besar kepada seluruh dunia.
Di Malaysia sahaja sehingga 29 Ogos lalu, jumlah keseluruhan kes jangkitan Covid-19 adalah melebihi 1.7 juta.
Jumlah kes sembuh pula lebih 1.4 juta.
Pensyarah di Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Prof. Dr. Moy Foong Ming menjelaskan, pesakit Covid-19 lazimnya mengambil masa dua hingga enam minggu untuk pulih.
Namun katanya, terdapat sebilangan pesakit yang masih mengalami gejala berlanjutan setelah sembuh.
Keadaan kesihatan berlanjutan lebih tiga bulan yang dikenali sebagai sindrom Long Covid itu turut membawa gejala tertentu antaranya kelesuan, keletihan, kesukaran bernafas dan brain fog atau kabut otak.
Apakah yang dimaksudkan dengan brain fog atau kabut otak ini?
Secara amnya, gejala ini digambarkan sebagai pengalaman individu yang mengalami lemah daya ingatan, kesukaran menumpukan perhatian dan pemikiran.
Moy menerangkan, gejala brain fog juga termasuk kesukaran mencari perkataan, kesukaran dalam pertuturan, aliran pemikiran serta perbualan yang kerap terganggu.
“Situasi sebegini mempengaruhi produktiviti kerja terutamanya bagi mereka yang bertugas di sektor pendidikan. Gejala kabut otak juga kadangkala bertindih dengan gejala- gejala lain seperti keresahan dan kemurungan,” ulasnya.
Moy menjelaskan, buat masa ini, punca sebenar masalah tersebut masih belum diketahui, namun penyelidik telah mengenal pasti beberapa kemungkinan.
Antara kemungkinan itu merangkumi, kekurangan oksigen disebabkan oleh kerosakan paru-paru, keradangan yang mempengaruhi sel otak, gangguan autoimun yang menyebabkan sistem imun menyerang sel yang sihat di dalam badan dan kekurangan aliran darah ekoran pembengkakan saluran darah kecil di otak.
“Berdasarkan penemuan awal daripada kajian tinjauan kami yang dilakukan dalam kalangan pemandiri Covid-19, lebih daripada 50 peratus responden melaporkan pengalaman gejala brain fog sehingga enam minggu selepas mereka sembuh.
“Lebih 20 peratus pula mengalaminya sehingga 12 minggu manakala 10 peratus lagi selama 6 bulan,” terangnya.
Tambahnya, pada masa ini, masih tidak jelas mengapa hanya sesetengah orang yang mengalami brain fog.
Hasil kajian juga menunjukkan bahawa mereka yang mengalami jangkitan Covid-19 bergejala teruk iaitu kategori empat dan lima lebih cenderung dikaitkan dengan brain fog berbanding pesakit bergejala ringan.
Keadaan yang serupa juga dilaporkan di negara-negara lain, namun kajian yang lebih mendalam serta menyeluruh diperlukan bagi memahami dengan lebih jelas kesan Long Covid serta brain fog ini.
Dalam pada itu, Pensyarah Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof. Dr. Noran Naqiah Hairi berkata, perkara pertama yang harus dilakukan bekas pesakit Covid-19 sekiranya mengalami brain fog adalah membuat janji temu dan berjumpa dengan pakar perubatan.
Menurutnya, pemantauan rapi serta intervensi awal dapat membantu bekas pesakit Covid-19 yang mengalami gejala brain fog.
“Selain rawatan perubatan, individu yang mengalami masalah itu perlu mengamalkan gaya hidup sihat seperti memastikan mereka cukup tidur. Tidur yang berkualiti membantu memperbaiki dan memulihkan badan kita.
“Lakukan juga senaman secara berkala. Aktiviti zikal tidak hanya membantu jantung dan paru-paru kita, tetapi juga dapat meningkatkan fungsi otak,” katanya.
Jelasnya, pesakit juga perlu memastikan makan makanan yang sihat dan seimbang untuk mendapatkan nutrien diperlukan tubuh supaya kembali sihat.
Noran Naqiah juga menasihatkan pesakit agar sentiasa berhubung dengan ahli keluarga dan rakan melalui apa jua cara termasuklah media sosial.
“Libatkan juga diri anda dengan aktiviti-aktiviti bermanfaat seperti membaca novel, aktiviti yang merangsang kognitif seperti mendengar muzik serta mengamal dan menanam kesedaran untuk memiliki mental yang positif,” jelasnya.