PETALING JAYA – Tidak tahan mendengar tangisan kanak-kanak, penyanyi Ara Johari tekad membuat laporan pada pengurusan kediamannya bagi menyiasat sama ada berlaku penderaan atau sebaliknya.
Ara atau nama sebenarnya, Nurfarrah Izzatie Johari berkata, dia bertindak demikian kerana bimbang dengan keadaan kanak-kanak berkenaan selepas mendengar tangisannya yang sangat meruntun hati.
“Pihak pengurusan sudah pergi periksa takut apa-apa berlaku, tetapi malangnya penghuni tersebut tidak mahu membuka pintu dan tidak mahu beri kerjasama.
“Kita tengok lagi dua tiga hari, kalau masih berulang kita akan hubungi pihak-pihak tertentu kerana mengganggu ketenteraman awam.
“Tidak tahulah dia pukul ke dera. Tapi itu bukan cara mahu ajar anak sebab mengganggu orang lain,” dakwanya menerusi hantaran di InstaStorynya kelmarin.
Dalam pada itu, pada hantaran berbeza, pelantun lagu Warkah Untukku itu telah memuat naik beberapa rakaman audio seorang kanak-kanak perempuan sedang menangis teresak-esak.
“Hai jiran atas, saya tak kisah awak nak pukul anak atau marah anak. Tapi teruk sangat tu awak belasah anak. Awak ingat rumah awak tu gelanggang wresting (gusti) ke?
“Fikirlah jiran bawah sikit. Sampai ke bawah dengar bising gila. Sebelum ni awak lempar sampah plastik semua pergi bawah sampai masuk balkoni rumah, aku boleh pertimbangkan lagi.
“Tapi sekarang ini, macam sudah tak boleh nak maafkan dah. Masalah keluarga ni saya malas campur, tapi saya nak jadi jiran yang prihatin,” tulisnya.
Penyanyi berusia 24 tahun itu memberitahu, dia tidak berniat untuk mencampuri urusan keluarga lain tetapi baginya memukul bukan cara terbaik untuk mengajar anak-anak.
Malah, katanya, perbuatan memarahi anak-anak dan bunyi tangisan kanak-kanak sebenarnya mengganggu kesejahteraan penghuni kediaman lain. -K! ONLINE