fbpx

Naik had hutang langkah terakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang nelayan termenung di sebuah bilik gerakan nelayan yang hampir roboh akibat hakisan di Tanjung Dahan, Masjid Tanah. Bajet 2022 diharapkan dapat memberi sokongan yang amat diperlukan kelompok terjejas akibat pandemik termasuk golongan nelayan. – Gambar hiasan

PETALING JAYA – Langkah untuk meningkatkan had statutori hutang negara melebihi paras semasa sepatutnya menjadi langkah terakhir kerajaan meskipun terdapat keperluan memastikan ruang fiskal adalah mencukupi dalam berdepan krisis pandemik.

Pensyarah Kanan Putra Business School, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ini kerana 15 peratus daripada hasil tahunan negara kini telah digunakan untuk membayar hutang dan sebarang penambahan berisiko menjejaskan pembangunan negara pada masa depan.

“Fokus kerajaan sepatutnya ialah memantau perbelanjaan, kenapa ia makin meningkat dan sama ada berlaku ketirisan. Baru-baru ini kita dikejutkan de­ngan penahanan seorang Datuk berhubung sindiket kartel penipuan projek kerajaan, adakah ini punca perbelanjaan negara me­ningkat?

“Sebagai contoh sekiranya orang awam berjumpa Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) kerana masalah kewangan, perkara utama yang mereka cadangkan ialah potong perbelanjaan sebab agak sukar untuk pendapatan naik sekelip mata.

“Begitu juga kerajaan, untuk tambah duit bukan sekadar de­ngan menambah hutang. Sekiranya ketirisan dapat dikurangkan, mungkin kita tidak perlu ber­belanja terlalu tinggi seperti sekarang,” katanya ketika dihubungi semalam.

Ahmed Razman

Selasa lalu, Kementerian Kewangan menerbitkan kenya­taan Pra-Bajet 2022, yang antara lain menyatakan keperluan untuk meningkatkan had statutori hutang bagi menyediakan ruang fiskal tambahan dalam mengukuh­kan ekonomi domestik dan memastikan pemulihan mampan.

Jelasnya, setakat akhir Jun 2021, paras hutang Kerajaan Persekutuan meningkat kepada 61.2 peratus kepada keluaran dalam negara kasar dengan hutang statutori mencatat 56.8 pe­ratus, di bawah had statutori pada 60 peratus.

Dalam pada itu, Ahmed Razman berkata, pihaknya mengalu-alukan cadangan penggubalan Akta Tanggungjawab Fiskal bagi meningkatkan tadbir urus, ke­telusan dan akauntabiliti dalam pengurusan fiskal negara.

“Selama ini selepas pembentangan bajet, kita tidak tahu berapa banyak yang telah dibe­lanjakan, atau sama ada terdapat perbelanjaan yang tidak ada dalam perancangan.

“Bajet adalah satu peranca­ngan. Kalau kerajaan mengumumkan akan buat sesuatu dalam bajet, namun ia sebenar­nya tidak dilakukan, sukar untuk maklumat ini sampai kepada pengetahuan rakyat biasa.

“Sekiranya kerajaan serius menggubal akta ini, rakyat akan mendapat banyak manfaat. Bantuan untuk rakyat dan peniaga misalnya mungkin akan sampai lebih cepat berbanding kebiasaan kerana kerajaan perlu membuat laporan mengenainya.

“Mungkin laporan secara bulanan boleh dilakukan menerusi Agensi Pelaksanaan Ekonomi Dan Koordinasi Strategik Nasio­nal (Laksana) supaya rakyat dapat mengetahui perkembangan pelaksanaan bajet selepas ini,” katanya.

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI