KETIKA cerita politik dan Covid-19 menguasai minda kita sejak berbulan lamanya, muncul satu kisah yang memberi seribu pengajaran buat seluruh rakyat Malaysia.
Kisahnya berlaku di bumi Tokyo pada petang 31 Ogos 2021 lalu dengan watak utamanya adalah Muhammad Ziyad Zolkefli.
Atlet Paralimpik berusia 31 tahun itu telah melalui satu episod paling duka dalam hidupnya, tatkala pingat emas yang diraih dalam acara lontar peluru dengan catatan rekod dunia ‘dirompak’ secara terang-terangan oleh pihak lain.
Drama ‘rompakan’ itu bukan hanya menggugurkan semangat Ziyad sebagai atlet berkelas dunia, malah turut mengganggu pesta kegembiraan lebih 32 juta rakyat Malaysia pada hari negara meraikan Hari Kebangsaan kali ke-64.
Semua orang kecewa. Baik di pihak pak menteri dan artis tersohor negara, sehinggalah kepada rakyat yang berada di jalanan untuk mencari rezeki. Masing-masing meluahkan rasa dengan cara tersendiri.
Di media sosial, paluan gendang oleh ‘Tentera Bawang’ untuk mengutuk atlet Ukraine, Maksym Koval sebagai individu yang melancarkan protes terus bertebaran, sehingga mendapat reaksi daripada Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC).
Sekalipun IPC menganggap kecaman di media sosial itu sebagai sangat kasar dan tidak masuk akal, ia langsung tidak memberi rasa gentar kepada rakyat negara ini untuk mempertahankan kedudukan Ziyad.
Bagi mereka, mempertahankan maruah Ziyad sama seperti mempertahankan maruah negara. Bagaimana mungkin rakyat Malaysia dapat menerima keputusan itu, ketika seluruh dunia menjadi saksi betapa Ziyad lebih layak dikalungkan pingat emas.
Walaupun diakhirnya IPC menjadikan alasan ‘peraturan adalah peraturan’ untuk menafikan hak Ziyad, namun semangat kesukanan yang ditonjolkan badan induk sukan paralimpik itu dalam mempertimbangkan setiap protes dan rayuan adalah sesuatu yang sukar diterima.
Diakhirnya, segala kudrat, keringat dan pengorbanan yang dilakukan Ziyad sejak lima tahun lalu untuk meraih emas peribadi keduanya di temasya Paralimpik menjadi sia-sia.
Bagi rakyat Malaysia, ‘kekalahan’ itu bukanlah isu utama kerana Ziyad sebenarnya telah membuktikan bahawa anak tempatan juga mampu menggoncang dunia dengan cara sendiri.
Paling penting, kisah yang berlaku ini secara tidak langsung membuktikan betapa rakyat kita begitu bencikan kepada perbuatan ‘merompak’ atau mengambil hak orang lain, baik secara sengaja ataupun tidak.
Beringatlah, jika kalian tidak mendapatkan apa yang kalian inginkan, setidak-tidaknya janganlah mengambil apa yang sudah menjadi milik orang lain. -K! ONLINE