COPENHAGEN – Pengurus Scotland, Steve Clarke mempertahankan keputusannya menurunkan Andy Robertson beraksi di luar posisinya sebagai punca kekalahan 0-2 kepada Denmark pada kelayakan Piala Dunia 2022 di Stadium Parken awal pagi semalam.
Taktikal Clarke mengejutkan ramai pihak apabila meletakkan Robertson sebagai pemain sayap pertahanan kanan berbanding posisi sebenar bintang Liverpool itu iaitu bek kiri.
Sebaliknya, pengendali berusia 58 tahun itu lebih mempercayai kemampuan pemain Arsenal, Kieran Tierney sebagai sayap pertahanan kiri dalam formasi permainan 3-5-2.
“Setiap keputusan yang dibuat adalah sukar tetapi saya tidak merasakan ia punca utama terhadap masalah kami dalam separuh masa pertama.
“Kami bertahan terlalu ke bawah dan tidak berani untuk bermain daripada bahagian belakang. Ia menjadikan kawasan tengah terlalu besar dan menyukarkan pemain untuk mendapatkan bola.
“Kami kembali menemui identiti sebenar dalam babak kedua tetapi terpaksa akur tewas kepada pasukan yang lebih baik. Kami sudah berusaha untuk mencari sesuatu, namun ia masih tidak berjaya,” kata Clarke.
Scotland terpaksa menerima hakikat perit apabila tewas kepada Norway menerusi dua gol pantas dalam tempoh seminit melalui Daniel Wass dan Joakim Maehle masing-masing pada minit ke-14 serta 15.
Kekalahan itu menyaksikan Scotland jatuh ke tangga keempat Kumpulan F dengan lima mata, ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu, Denmark selepas mengharungi empat aksi. – AGENSI