ROMPIN – Seorang pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 118 Jalan Kuantan-Segamat di sini, hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu menyaksikan kenderaan jenis Toyota Avanza berkenaan terbakar sejurus selepas mangsa, Nur Amirah Syahirah Samsudin,21, tercampak keluar.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, semasa kejadian mangsa dalam perjalanan dari arah Segamat menuju ke bandar Muadzam Shah.
“Apabila sampai di tempat kejadian pemandu MPV dipercayai hilang kawalan dan secara tiba-tiba memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori.
“Akibat kejadian mangsa yang memandu kenderaan jenis Toyota Avanza itu tercampak keluar daripada kenderaanya dan meninggal dunia di tempat kejadian,”katanya di sini, hari ini.
Menurut Kamarulzaman kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih giat dilakukan.
Katanya, berdasarkan siasatan awal semasa kejadian jalan basah akibat hujan dan lokasi jalan adalah berselekoh dengan sistem jalan tiga lorong dua hala.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan ini berpunca daripada kecuaian pemandu MPV kerana gagal mengawal kenderaan sehingga berlakunya kemalangan,”ujarnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929