PETALING JAYA – Padah mengugut sseorang pemilik restoran untuk mendapatkan wang perlindungan, seorang lelaki didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Nurshahira Abdul Salim menjatuhkan hukuman denda itu terhadap K.Theepan Raj, 23, selepas bekas pekerja kilang itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh untuk menjalani hukuman penjara selama empat bulan, sekiranya gagal membayar denda dan tertuduh membayar denda berkenaan.
Terdahulu sebelum hukuman denda itu dijatuhkan, Majistret Nurshahira ada bertanya tujuan tertuduh berbuat demikian, namun tertudij menjawab hanya untuk sekadar suka-suka.
“Saya main-main sahaja, minta wang perlindungan daripada dia (mangsa),” kata tertuduh.
Mengikut pertuduhan, anak kedua daripada lima beradik itu didapati menakutkan secara jenayah melalui aplikasi WhatsApp kepada R.Venod Rao, 32, dengan mengugut akan membakar kedai penama.
Kesalahan dilakukan di sebuah restoran di Jalan Yong Shook Lin, Bandar Baru Petaling Jaya di sini pukul 2.24 petang pada 27 Julai lalu yang didakwa mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama dua tahun, atau denda atau kedua-duanya.
Semasa prosiding, peguam, Datin Raj Preet Kaur yang mewakili tertuduh, merayu agar anak guamnya diberi hukuman ringan atas alasan kesal dan insaf dengan perbuatan yang dilakukan.
“Akibat kes ini, dia diberhentikan kerja malah tahanan reman selama beberapa hari, memberi pengajaran kepadanya supaya tidak mengulangi kesilapan sama di masa depan,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Zafirah Syed Mustapa mencadangkan kepada mahkamah agar tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, ketika pengadu berada di restoran, dia menerima mesej WhatsApp daripada tertuduh yang menyatakan mahu membakar kedai sekiranya tidak memberi wang RM500.
Pengadu yang takut dengan ugutan tersebut kemudian bertindak membuat laporan polis. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929